Rusli Jaafar dilantik semula Pengerusi Eksekutif SKM

Rusli
Rusli
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) hari ini mengumumkan pelantikan semula Rusli Jaafar sebagai Pengerusi Eksekutif SKM berkuat kuasa 1 Jun hingga 31 Mei 2025.

SKM dalam kenyataan memaklumkan pelantikan itu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaras dengan Seksyen 11(3)(a) Akta Suruhanjaya Koperasi Malaysia 2007 (Akta 665).

Penyampaian watikah pelantikan telah disempurnakan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.

Rusli yang berkelulusan Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah berkhidmat di SKM selama 30 tahun bermula di Jabatan Pembangunan Koperasi.

"Sepanjang tempoh tersebut beliau memegang jawatan sebagai pengarah di beberapa bahagian ibu pejabat dan negeri sehingga di peringkat pengurusan tertinggi SKM.

"Dengan pelantikan ini, Ahli Lembaga Pengarah serta seluruh warga kerja SKM mengucapkan tahniah,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini Rusli dilantik memegang jawatan Pengerusi Eksekutif SKM pada 1 Disember 2022. - Bernama