Pas tiada kaitan komplot tumbangkan kerajaan menerusi SD

Tuan Ibrahim
Tuan Ibrahim
A
A
A

ALOR SETAR - Pas tiada kaitan dengan dakwaan wujudnya komplot untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, bagaimanapun, parti itu terbuka kepada sebarang kemungkinan, selagi ia berada dalam lingkungan Perlembagaan Persekutuan dan proses demokrasi.

Menurutnya, Pas juga tidak akan bertindak di luar batas perundangan bagi mencapai matlamat menerajui negara.

“Selagi pergerakan itu dibenarkan undang-undang dalam sistem negara kita, kita anggap sebagai sah dari aspek Perlembagaan. Kalau sekiranya ada gerakan, tak ada masalah dan tak wajar ada isu,” katanya pada sidang akhbar di Majlis Terbuka Aidilfitri Pas Pusat di Kota Sarang Semut di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor; Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau serta Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak hadir berikutan kedua-dua pemimpin berkenaan dilaporkan kurang sihat.

Tuan Ibrahim tegaskan, selagi ia dalam rangka kerja yang dibenarkan dalam sistem pilihan raya dan demokrasi serta tidak bercanggah dengan undang-undang, Pas terbuka untuk sebarang kemungkinan.

“Saya pun tidak tahu siapa yang mulakan dengan mainan nombor (SD). Kami tiada kaitan. Lagipun isu SD (akuan bersumpah) ini tidak melibatkan ia perlu dibawa kepada Perdana Menteri,” ujarnya lagi.

Tuan Ibrahim berkata demikian ketika mengulas dakwaan pembangkang memperoleh sokongan majoriti mudah kalangan ahli parlimen di Dewan Rakyat untuk menggulingkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dikhabarkan blok pembangkang pimpinan Perikatan Nasional (PN) telah mendapat sokongan sekurang-kurangnya 126 Ahli Parlimen untuk menjatuhkan kerajaan Persekutuan diterajui Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Sebelum ini, Anwar dilaporkan berkata tidak terkejut dengan spekulasi yang mencadangkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin telah mengumpulkan SD mencukupi untuk menjatuhkan kerajaan.

Anwar turut melahirkan keyakinan Kerajaan Perpaduan bawah pimpinannya stabil dan kekal utuh sehingga pilihan raya umum akan datang.

Beliau turut mencabar pembangkang membuktikan mereka mempunyai bilangan SD di Parlimen akan datang.