Tukar kerajaan: Isham dakwa PN mahu lari pendakwaan mahkamah

Isham Jalil
Isham Jalil
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil mendakwa bahawa gerakan untuk menumbangkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disebabkan Perikatan Nasional (PN) terdesak dan ingin lari dari pendakwaan mahkamah.

Dakwanya lagi, ketaksuban pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan hanyalah ingin menyelamatkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beberapa yang terlibat daripada didakwa dan dipenjara.

Beliau bagaimanapun menegaskan, pemimpin terlibat dengan pendakwaan seharusnya bertanggungjawab terhadap perkara yang telah dilakukan semasa mentadbir negara.

“Saya tahu kamu terdesak mahu tukar kerajaan sebab kamu mahu lari dari pendakwaan mahkamah dan kamu ingin menyelamatkan Muhyiddin dan tengkuk kamu sendiri daripada didakwa dan dipenjara.

“Nasihat saya ialah hadap sahajalah pendakwaan dan proses mahkamah ini dan jawab di hadapan hakim. Pemimpin UMNO ramai yang sudah melalui proses ini sebelum ini, kamu tidak boleh terkecuali.

“Kamu perlu bertanggungjawab ke atas apa yang kamu buat semasa kamu berkuasa. Tiada siapa yang terkecuali daripada proses pengadilan dan kebertanggungjawaban ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya pada Sabtu.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan, Anwar berkata bahawa komplot untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan tidak akan berjaya meskipun pihak terbabit mengakui mempunyai akuan bersumpah (SD) yang mencukupi untuk membentuk kerajaan baharu.

Beliau turut melahirkan keyakinan Kerajaan Perpaduan akan kekal sehingga habis penggal sambil meminta sekiranya PN mempunyai majoriti yang mencukupi, gabungan itu boleh membawanya ke sidang Dewan Rakyat akan datang.

Oleh demikian, Isham menyarankan kepada pemimpin PN dan seangkatannya supaya membawa, menunjukkan SD ke Parlimen serta istana untuk membuktikan bahawa mempunyai sokongan.

Beliau turut merasakan bahawa Kerajaan Perpaduan yang dibentuk pada Disember lalu tidak akan mengisytiharkan darurat seperti yang dilakukan oleh bekas Perdana Menteri, Muhyiddin setelah hilang sokongan.

“Jika tidak, saya gesa PN fokus sahaja untuk jadi pembangkang yang membina dan biar kerajaan hari ini buat kerja dan stabilkan ekonomi sebab setiap kali pertukaran kerajaan cara pintu belakang, ia akan menggugat kestabilan politik dan merencat keadaan ekonomi. Yang susah adalah rakyat,” ujarnya.