Kemarau: Penternak risau kerbau sering 'naik minyak'

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A
TANAH MERAH - Penternak kerbau di Kelantan yang sedang menghadapi musim kemarau ketika ini, mulai resah apabila ternakan mereka dikatakan sering 'naik minyak' berikutan tempat berkubang haiwan itu kini mulai kering kontang.

Seorang penternak, Nik Yakob Awang Ahmad, 67, berkata, ketika ini beliau terpaksa mengerah tenaga mengambil air daripada kolam atau sungai setiap hari sebagai air untuk minuman dan memandikan dua ekor kerbau peliharaannya bagi mengelakkan haiwan itu terus kepanasan.

Beliau berkata, haiwan itu perlu berkubang bagi menyejukkan suhu badannya, dan sekiranya tiada lagi kawasan berair atau tempat berkubang, ia akan kepanasan seterusnya mengalami kemurungan, tidak selesa, mudah ‘naik minyak’ dan menjadi ganas, selain berisiko akan mati.

"Sebelum ini saya hanya melepaskan kerbau untuk mencari tempat berkubang sendiri, namun sekarang parit dan kawasan sawah padi terbiar di sekitar kawasan ini sudah kering akibat kemarau," katanya ketika ditemui Bernama di Kampung Chawas, di sini pada Sabtu.

Bercerita lanjut, Nik Yakob berkata, dia perlu memandikan kerbau peliharaannya sekurang-kurangnya dua kali sehari bagi mengelakkan kepanasan dan menjaga kesihatan haiwan itu.

"Jika saya tidak kerah tenaga mengambil air mungkin kesihatan kerbau akan terjejas selain menimbulkan masalah terutamanya 'naik minyak' serta boleh menyebabkan haiwan itu menyerang manusia. Tempat berkubang penting bagi menyihatkan serta proses membesarkan tubuh badan kerbau,” katanya.

Nik Yakob berkata, selain masalah tempat berkubang, kerbau peliharaannya turut berdepan masalah makanan apabila rumput turut menjadi kering.

"Buat masa ini saya terpaksa mencari rumput yang tumbuh di kawasan pinggir sungai dan tali air," katanya. - Bernama