Kerajaan teliti beberapa RUU berkaitan kebebasan media

Fahmi - Foto Bernama
Fahmi - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan sedang meneliti beberapa rang undang-undang (RUU) baharu berkaitan media termasuk RUU Majlis Media Malaysia dalam usaha memastikan aspek kebebasan media di negara ini terjamin, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Dalam sidang akhbar berkenaan inisiatif 5G di sini pada Rabu, Fahmi berkata, RUU Majlis Media Malaysia ketika ini berada dalam proses perbincangan bersama organisasi media, syarikat berkaitan dan persatuan pengamal media.

"Komitmen kerajaan ialah menjamin kebebasan media.

"Kita harap perbincangan (RUU Majlis Media Malaysia) dapat dirancakkan menjelang HAWANA (Hari Wartawan Nasional) (27 hingga 29 Mei) supaya kita dapat kenal pasti perkara asas atau isu yang dihadapi pengamal media untuk kita tangani secara mampan,” katanya sambil menambah isu berkenaan membabitkan ekonomi, kerjasama dan etika kewartawanan.

Pada 13 Mac lepas, Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) menerusi jawapan yang disiarkan di laman sesawang Parlimen memaklumkan kementerian itu telah mengadakan mesyuarat bersama Jawatankuasa Kerja Sementara pada 1 Mac lepas bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung kandungan draf RUU Majlis Media Malaysia daripada jawatankuasa itu supaya lebih spesifik dan boleh diukur.

Cadangan penubuhan Majlis Media Malaysia disuarakan peserta Wacana HAWANA pada 2018 yang mewakili pelbagai pertubuhan media di seluruh negara yang berperanan untuk mengekang berita palsu dan menjaga kebajikan pengamal media.

Mengenai peningkatan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2023 yang dikeluarkan oleh Reporters Without Borders (RSF), Fahmi menyifatkan kedudukan Malaysia di tangga ke-73 berbanding tangga ke-113 tahun lepas merupakan suatu pencapaian di luar jangkaan serta membanggakan.

"Peningkatan 40 anak tangga ini adalah di luar jangkaan dan amat positif untuk negara serta kerajaan,” katanya yang turut menasihatkan agar kerajaan dan penggiat industri media tidak merasa selesa dengan pencapaian itu sebaliknya terus melakukan penambahbaikan bagi mencapai kedudukan lebih baik pada masa akan datang.

Dalam indeks berkenaan yang bertujuan membandingkan tahap kebebasan pengamal-pengamal media di 180 negara dan wilayah seluruh dunia, kedudukan Malaysia meningkat 40 anak tangga dengan mencatat 62.83 mata berbanding tahun sebelumnya pada kedudukan 113 dengan 51.55 mata.

Malaysia turut menduduki kedudukan tertinggi di ASEAN, diikuti Thailand pada kedudukan ke-106, Indonesia (108), Singapura (129), Filipina (132), Brunei (142), Kemboja (147), Laos (160), Myanmar (173) dan Vietnam (178). - Bernama