Jejantas uzur, bumbung tercabut ancam keselamatan orang awam

Keadaan bumbung tercabut di jejantas pejalan kaki di Pekan Kapar, Klang. Gambar kecil dari kiri: Mohd Zaini, Poopandian, Mat Ros, Haris, Daniel Ikram
Keadaan bumbung tercabut di jejantas pejalan kaki di Pekan Kapar, Klang. Gambar kecil dari kiri: Mohd Zaini, Poopandian, Mat Ros, Haris, Daniel Ikram
A
A
A

KLANG - Penduduk yang menggunakan jejantas pejalan kaki di Pekan Kapar di sini, berdepan risiko bahaya berikutan keadaan bumbung pecah dan rosak akibat tidak diselenggara sejak 17 tahun lalu.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, jejantas itu terlalu uzur apabila kebanyakan bumbung tercabut dan tidak selamat untuk digunakan.

Seorang peniaga pakaian terpakai, Mohd Zaini Yusof, 57, berkata, jejantas itu ketika ini menjadi tempat melepak terutama gelandangan pada waktu malam.

"Sebelum ini, saya dapati ada tilam, bantal dan selimut di bahagian atas dan mungkin ada yang bermalam di situ.

"Tapi, semalam kawasan jejantas sudah dibersihkan oleh pihak berwajib selepas kemudahan ini tular di media sosial," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Rabu.

Keadaan bumbung jejantas pejalan kaki di Pekan Kapar di sini yang uzur dan tercabut.
Keadaan bumbung jejantas pejalan kaki di Pekan Kapar di sini yang uzur dan tercabut.

Mohd Zaini berkata, jambatan itu juga terlalu kotor dan menjadi tempat pihak tidak bertanggungjawab membuang air di merata tempat hingga menimbulkan bau kurang menyenangkan.

"Kedai saya memang berdekatan dengan jambatan ini, malah saya sendiri akui pernah menyaksikan kejadian ragut di depan mata," jelas beliau.

Seorang lagi penduduk, V Poopandian, 63, berkata, jejantas itu dibina lebih 20 tahun lalu untuk kegunaan pelajar di sebuah sekolah menengah.

"Jejantas itu kini terbiar apabila tidak lagi digunakan pelajar sekolah kerana mereka sudah ada kenderaan sendiri atau diambil oleh ibu bapa masing-masing," jelas Poopandian

Poopandian yang menetap di Taman Seri Kerayong berkata, pelbagai masalah timbul berikutan infrastruktur itu terbiar seperti bumbung jejantas tercabut dan diterbangkan angin hingga mengundang bahaya kepada keselamatan orang awam.

"Misalnya, tiga hari lalu angin kuat menyebabkan kepingan bumbung terjatuh dan terkena sebuah kenderaan yang melalui jalan ini," jelas beliau.

Sehubungan itu, katanya, pihak bertanggungjawab digesa mencari jalan penyelesaian segera menangani perkara tersebut.

"Saya berpendapat jambatan ini perlu dirobohkan atau dipindahkan ke tempat yang memerlukan dan lebih selamat," ujar Poopandian.

Seorang pengguna, Mat Ros Mohamad, 66, berkata, jejantas itu digunakannya pertama kali dan keadaan kemudahan itu dianggap daif dan perlu dibaik pulih.

Katanya, semasa melalui jejantas itu bersama seorang cucunya, dia terpaksa berhati-hati berikutan permukaan lantai tidak rata dan bumbung tercabut.

"Saya meletakkan kenderaan di seberang jalan dan kemudian menggunakan jejantas ini untuk ke deretan kedai berhampiran.

"Saya dapat rasakan jejantas ini perlu dibaik pulih kerana ia boleh digunakan penduduk. Ada sebahagian mereka tidak menggunakan kemudahan ini disebabkan bahaya dan sebagainya," tambahnya.

Seorang lagi penduduk, Haris Hassan, 53, berkata, penduduk tempatan jarang menggunakan jejantas itu melainkan warga asing.

Katanya, kemudahan itu memerlukan penyelenggaraan secara berkala dan tidak terus dibiarkan dalam keadaan serba daif.

"Apabila jejantas ini siap dibina, ia perlu dibuat pemantauan dan kita tak mahu ada sebarang kejadian tidak diingini," jelas Haris yang menetap di Kampung Seri Serdang.

Seorang lagi penduduk, Daniel Ikram Badrul Zaman, 27, berkata, meskipun menetap di Meru, namun dia kerap kali melihat sendiri jejantas yang terbiar itu.

"Setiap kali singgah di Pekan Kapar, saya melihat kedaifan jejantas ini lebih-lebih lagi kawasan ini sesak dengan kenderaan terutama pada waktu puncak," luahnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!