[VIDEO] Suami isteri mengaku salah aniaya anak hingga mati

S Nagendran (kiri), A Sangeetha dibawa keluar selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Rabu.
S Nagendran (kiri), A Sangeetha dibawa keluar selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan menganiaya seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun, minggu lalu.

Tertuduh S Nagendran, 23 seorang pengawal keselamatan yang juga bapa tiri kepada mangsa dan isterinya, A Sangeetha, 23 mengaku bersalah selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan dihadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama menganiaya mangsa yang berada dibawa pemeliharaan sehingga menyebabkan kecederaan di Skudai Villa Apartment, Jalan Taman Aman Skudai Baru di sini pada kira-kira jam 12.30 tengah malam, Jumaat lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Idayu Salim dan Umar Faiz Abdul Kohar manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Noor Idayu tidak mencadangkan sebarang ikat jamin kerana kesalahan bawah seksyen berkenaan tidak boleh dijamin.

Namun, beliau mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM20,000 bagi setiap tertuduh sekiranya mahkamah ingin membenarkan ikat jamin.

Mahkamah membenarkan ikat jamin sebanyak RM8,000 setiap seorang dengan seorang penjamin selepas mendengar rayuan jaminan di mana tertuduh wanita sedang hamil dua bulan selain memiliki bayi berusia enam bulan.

Selain itu kedua-dua tertuduh turut diminta melapor diri di Balai Polis Mutiara Rini sebulan sekali dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 7 Jun depan sebagai lantikan peguam, fakta dan hukuman.

Pada Sabtu, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut dipercayai didera oleh ibu kandung dan bapa tiri mangsa.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, mangsa meninggal dunia selepas tiba Zon Kecemasan, Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru kira-kira jam 8.20 pagi, Jumaat.