Rumah terbuka enam negeri keterlaluan - PN

Takiyuddin (Siaran media PN)
Takiyuddin (Siaran media PN)
A
A
A

SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) mempertikaikan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani bersama Perdana Menteri di enam negeri yang disifatkan keterlaluan.

Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, keputusan kerajaan itu dilihat terlalu terburu-buru selain tidak wajar dipertahankan.

Menurutnya, majlis diadakan di enam negeri yang bakal menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) sudah tentu akan mencetuskan persoalan mengenai motif dan tujuan ia diadakan.

"Langkah sebegini sekiranya dikatakan untuk meraikan hari kebesaran agama serta muhibah umat iaitu Hari Raya Aidilfitri ternyata jauh tersasar dan jelas akan tercemar.

"Ini kerana ia tidak lagi boleh dipisahkan daripada motif politik dan persaingan pengaruh menjelang PRN yang bakal berlaku beberapa bulan sahaja lagi.

"Retorik basi dan sumbang kononnya Pas dan sekarang ini PN adalah parti yang 'menunggang agama' untuk tujuan politik nampaknya kini berbalik kepada kerajaan pusat sendiri yang 'menculik' majlis penting tahunan Islam itu bagi mencapai matlamat kuasanya," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri bersama Perdana Menteri dan Jemaah Menteri akan diadakan di enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Pada Ahad, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyifatkan Rumah Terbuka Malaysia Madani di enam negeri sebagai program kempen PRN dan tidak wajar diadakan kerana melibatkan kos tinggi sedangkan kerajaan Persekutuan sebelum ini menguar-uarkan langkah penjimatan.

Sebelum ini, Dewan Ulama Pas Pusat menyifatkan langkah Kerajaan Madani pimpinan Anwar mengadakan majlis rumah terbuka Aidilfitri di negeri tertentu hanya bermotifkan politik menjelang PRN akan datang selain menyebabkan berlaku lebih banyak pembaziran semata-mata.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, majlis bersiri berkenaan juga melanggar konvensyen dan adab hubungan antara kerajaan pusat serta negeri dari segi wibawa selain bidang kuasa masing-masing.

Menurutnya, majlis yang berlebih-lebihan seperti itu sangat berlawanan dengan penyataan dasar dan komitmen kerajaan untuk berjimat cermat bagi mengukuhkan kedudukan kewangannya yang didakwa terbeban dengan hutang, salah pengurusan dan pembaziran kerajaan terdahulu.

"PN juga merakamkan kebimbangan berhubung kemungkinan berlakunya penyalahgunaan agensi dan jentera kerajaan dalam penganjuran majlis-majlis sambutan ini kerana motif politiknya sudah tidak boleh disorok lagi.

"Jadi kerajaan pusat perlu memberi jaminan ia tidak berlaku selain memastikan semua janji dan slogan tentang salah guna kuasa, penyalahgunaan jentera selain kelemahan pengurusan yang diuar-uarkan sebelum ini tidak hanya tinggal slogan serta janji di bibir semata-mata," ujarnya.