Nostalgia basikal tua berwarna merah

Syamer Ariff menggunakan basikal tua arwah bapanya untuk berniaga karipap hasil air tangan ibunya.
Syamer Ariff menggunakan basikal tua arwah bapanya untuk berniaga karipap hasil air tangan ibunya.
A
A
A

KUALA KRAI - "Basikal ayah nostalgia mahal buat kami," kata anak bekas penjual karipap di Petronas Daskoh di sini menyentuh mengenai basikal tua berwarna merah milik arwah bapanya.

Syamer Ariff Rosdi, 18, berkata, keluarganya pernah ditawarkan dengan nilai lima angka oleh individu tertentu kerana mahu mendapatkan basikal itu.

Anak ketiga daripada empat beradik itu memberitahu, basikal tersebut merupakan satu kenangan yang tidak mungkin padam dalam ingatan keluarga mereka.

"Basikal inilah yang arwah ayah guna untuk berniaga karipap hasil air tangan ibu bagi membesarkan kami adik-beradik," katanya ketika ditemui pada Isnin.

Jelasnya, selepas pemergian bapanya, basikal itu tidak pernah dibaiki kerana masih berada dalam keadaan baik walaupun pernah digunakan selama lima tahun oleh bapanya untuk berniaga di stesen minyak itu.

Menurut Syamer Ariff, bapanya meninggal dunia akibat penyakit jantung dan paru-paru pada Oktober 2021.

Pelajar Tingkatan Enam Sekolah Maahad Tahfiz Al Azhari Machang itu juga berhasrat meneruskan perniagaan bapanya dengan mengkomersialkan karipap berkenaan.

Syamer Ariff membantu menjual karipap ketika cuti sekolah.
Syamer Ariff membantu menjual karipap ketika cuti sekolah.

Bagaimanapun Syamer Ariff mahu menamatkan pengajian dan berjaya dalam pelajaran sebelum meneruskan impian keluarganya.

"Kami memang merancang untuk membesarkan perniagaan ayah tetapi mahu mengekalkan namanya sebagai karipap panas Abe Die," katanya.

Syamer Ariff memberitahu, akan membantu ibunya menjual karipap apabila cuti persekolahan atau cuti umum dengan merancang jadual harian kerana tinggal di asrama.

"Jika saya pulang ke asrama, emak saudara atau adik akan menjual karipap ini," katanya.

"Biasanya kami menjual kira-kira 1,000 karipap sehari seawal jam 7 pagi dan habis dalam tempoh empat jam bergantung kepada jumlah pelanggan," katanya.

Syamer Ariff juga akan membantu ibunya, Tuan Muharini Tuan Mat, 51, memasak inti karipap yang akan siap dalam tempoh tiga jam.

"Saya akan mula mengulangkaji pelajaran selepas solat Isyak," katanya.

Karipap panas Abe Die yang penuh inti pernah tular di media sosial dan menjadi kegemaran ramai pelanggan.