Aidilfitri suram tanpa dua anak

Allahyarham Hijjaz Kasturi Ramli dan (kiri) kakaknya Allahyarham Nurul Fatihah yang meninggal dunia ketika dalam perjalanan untuk membeli donat.
Allahyarham Hijjaz Kasturi Ramli dan (kiri) kakaknya Allahyarham Nurul Fatihah yang meninggal dunia ketika dalam perjalanan untuk membeli donat.
A
A
A

JASIN - Aidilfitri kali ini disambut suram seorang suri rumah Esma Eazreen Husin, 42, dan keluarganya dari Kampung Kemendor di sini selepas kehilangan dua anak serentak akibat kemalangan jalan raya Januari lalu.

Biarpun telah empat bulan Allahyarham Hijjaz Kasturi Ramli, 19, dan kakaknya, Allahyarhamah Nurul Fatihah Ramli, 21, pergi menghadap Ilahi, namun ingatan terhadap mereka berdua tidak pernah padam.

Ibu kepada lima anak itu berkata, kenangan bersama kedua-dua arwah sentiasa bermain dalam ingatan dan seolah-olah insiden yang meragut nyawa mereka berdua baru sahaja berlaku.

Menurutnya, hubungan rapat dengan kedua-dua anaknya itu telah dianggap seperti ‘kawan baik’ termasuk sering berkongsi cerita dan masalah bersama.

Katanya, jika orang lain teruja membuat persiapan raya, namun tidak bagi mereka sekeluarga dan menggambarkan Aidilfitri kali ini tidak lengkap dan hilang suasana untuk berhari raya.

“Saya berkahwin awal ketika usia 18 tahun dan kerana itu dengan mereka berdua menjadi rapat, banyak perkara kami berkongsi bersama.

“Sehingga saat ini juga belum ada sedetik pun saya lupakan mereka, malah setiap inci rumah termasuk di dapur ada kenangan mereka berdua yang tak dapat saya lupakan,” katanya yang mesra dipanggil Reen.

Kemalangan yang meragut nyawa kedua-dua anaknya di Jalan Ayer Keroh-Gapam pada Januari lalu.
Kemalangan yang meragut nyawa kedua-dua anaknya di Jalan Ayer Keroh-Gapam pada Januari lalu.

Reen yang berasal dari Simpang Kerayong, Jasin, berkata, bukan tidak mahu meraikan Aidilfitri, namun cukuplah bersederhana memandangkan tiga anaknya yang masih ada sudah pasti mahu berhari raya.

Ujarnya, cuma hasrat arwah Hijjaz Kasturi untuk melihat mereka sekeluarga berpakaian sedondon setiap kali raya tidak kesampaian dan tidak tertunai.

“Tahun lepas arwah memilih tema warna kuning cair dan kali ini dia memilih tema ungu cair, namun tak sempat kami nak memakai baju warna dipilihnya.

“Disebabkan anak-anak mahu memakai baju raya berwarna hitam, jadi kali ini kami mengenakan pakaian sedondon warna itu,” katanya.

Jelasnya, setiap kali rindu, dia bukan sahaja akan menatap gambar arwah anaknya, malah setiap dua hari sekali akan menziarahi kubur mereka yang dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kemendor.

“Jujur saya katakan kali ini tiada persiapan raya yang dibuat tak kira kuih raya atau juadah raya.

“Cukuplah sekadar menggembirakan hati anak-anak yang masih ada kerana saya tak boleh terus bersedih dan mereka juga memerlukan saya,” katanya.

Sementara itu, suaminya, Ramli Merat, 46, yang mengusahakan nurseri berkata, sebagai bapa dia turut merasai kehilangan kedua-dua mereka dan mengambil masa untuk bangkit dari kesedihan itu.

Katanya, walaupun Hijjaz Kasturi pendiam, namun rapat dengannya lebih-lebih lagi arwah yang banyak membantu menguruskan perniagaan yang beroperasi di Bemban Jasin.

“Selalu kalau hantar barang, dia yang akan jadi kelindan dan menemani saya, sekarang tidak lagi dan itu yang membuatkan saya begitu rasa ketiadaan dan kehilangannya,” katanya.

Sinar Harian pada Januari lalu melaporkan hasrat seorang kakak yang ingin membelanjakan adik lelakinya donut tidak kesampaian apabila kedua-duanya maut dalam nahas motosikal di Jalan Ayer Keroh- Gapam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, kedua-dua mangsa meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.