Johor setuju beri diskaun 80 peratus bayaran premium tanah

Ahmad Zahid (depan, kanan) meninjau PPK Kampung Parit Makuaseng, Benut pada Jumaat.
Ahmad Zahid (depan, kanan) meninjau PPK Kampung Parit Makuaseng, Benut pada Jumaat.
A
A
A

PONTIAN - Kerajaan Johor bersetuju untuk memberi pengurangan sebanyak 80 peratus ke atas bayaran premium tanah membabitkan perpindahan penduduk Kampung Seri Tanjung dan Kampung Nelayan Benut ke Kampung Parit Makuaseng, Benut.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, bayaran premium membabitkan nilai RM1.6 juta itu telah dimohon Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan yang juga Timbalan Menteri Kewangan I.

"Saya sempat 'berbisik' dari jauh dengan Menteri Besar Johor tentang premium tanah tadi, untuk diskaun 80 peratus yang nilainya RM1.6 juta.

"Atas baik hatinya MB (Menteri Besar), kerajaan negeri akan beri diskaun 80 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Rumah Terbuka UMNO Bahagian Pontian di Dewan Muafakat Kompleks Pusat Khidmat Ahli Parlimen Pontian di Benut, di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi: Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Maslan yang juga Ketua UMNO Bahagian Pontian dan Ahli Dewan Undangan Negeri Negeri (ADUN) Benut, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad serta Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong

Projek Pemajuan Kawasan (PPK) Kampung Parit Makuasang, melibatkan pembangunan 170 unit rumah secara berkembar dengan infrastruktur asas termasuk jalan dalam penempatan, bekalan air, bekalan elektrik dan sistem rawatan kumbahan.

Projek yang diluluskan pada tahun 2016 ini bertujuan menyediakan penempatan semula mangsa banjir dan air pasang khususnya di Kampung Nelayan, Kampung Sri Tanjung dan Kampung Sungai Sanglang serta golongan miskin tegar dan miskin di sekitar Benut.