PSI dapat sokongan majoriti rakyat Pulau Pinang - KM

Kon Yeow
Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSI) mendapat sokongan majoriti daripada penduduk Pulau Pinang sejak ia dimulakan pada 2013.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, projek yang sebelum ini dikenali sebagai Penang South Reclamation (PSR), telah melalui proses yang panjang iaitu selama lapan atau sembilan tahun sebelum ia mendapat kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).

"Malah semasa pilihan raya, kita letakkan di atas meja, serta dalam manifesto untuk rakyat tentukan, dan mereka telah putuskan. Majoriti telah memutuskan untuk menyokong PSI," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Semalam, Kon Yeow mengumumkan laporan EIA bagi projek PSI telah mendapat kelulusan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) di bawah Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

Sementara itu ketika ditanya mengenai bantahan projek PSI daripada kumpulan alam sekitar dan nelayan, Kon Yeow berkata, negeri ini selama ini bersikap terbuka dengan projek berkenaan dan negeri ini tidak mempunyai sebarang perkara untuk disembunyikan.

Jelasnya, negeri ini tidak boleh menghalang mana-mana pihak sama ada parti politik atau badan bukan kerajaan (NGO) daripada mempolitikkan perkara itu.

Semalam dilaporkan, Sahabat Alam Malaysia (SAM) merayu pihak berkuasa mendedahkan 71 syarat yang dikenakan JAS berhubung kelulusan EIA bagi projek PSR.

Chow berkata 71 komponen itu terdiri daripada bahagian A hingga Q dan maklumat lanjut mengenai projek itu boleh diperoleh daripada laman web Perbadanan Infrastruktur Pulau Pinang (PIC).

“Sebenarnya syarat yang dikenakan oleh JAS terkandung dalam lampiran kelulusan yang diberikan,” katanya.

PSI merupakan projek pembangunan tiga pulau buatan berkeluasan kira-kira 1,700 hektar di perairan Permatang Damar Laut berdekatan Bayan Lepas.

Namun, projek itu mendapat bantahan komuniti nelayan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar kerana didakwa akan merosakkan ekosistem laut. - Bernama