Isu air, Kerajaan Johor jangan tuding jari: Khaled

Mohamed Khaled
Mohamed Khaled
A
A
A

JOHOR BAHRU - Isu gangguan air bersih yang kian berlarutan di beberapa kawasan dalam negeri ini diharap dapat menjadi pengajaran kepada Kerajaan Johor untuk tidak mengambil mudah mengenai perkara itu.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara itu berikutan pihaknya mendapati tiada langkah yang progresif dilakukan pihak tersebut dalam menyelesaikan isu air negeri sekali gus bertindak seperti apa yang mereka janjikan sebelum ini.

Menurutnya, ia sekali gus menjelaskan keadaan sebenar ketika pemerintahan BN sebelum ini yang mana ketika itu pembangkang hanya tahu menunding jari selain menggunakannya sebagai bahan desakan politik.

“Salah satu perkara yang sering dipolitikkan oleh kerajaan negeri hari ini semasa mereka menjadi pembangkang adalah isu air. Setiap kali berlaku gangguan bekalan sama ada disebabkan bencana alam, faktor cuaca atau pun kerja-kerja penyelenggaraan, mereka akan pantas menyalahkan kerajaan negeri (BN).

“Kononnya, kerajaan negeri tidak cekap menguruskan air, tidak peka dan prihatin terhadap nasib rakyat. Mereka akan menolak dan mengabaikan sebarang penerangan serta ajakan untuk bekerjasama dalam mencari solusi terbaik dalam pengurusan air Johor,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata, keadaan dilihat semakin teruk apabila sepanjang tahun ini sahaja sudah beberapa isu pencemaran air yang dilihat gagal ditangani kerajaan negeri dengan sebaiknya.

“Januari lalu berlaku kes pencemaran minyak sawit di Hulu Sungai Johor yang menjejaskan ribuan penduduk di daerah Johor Bahru dan Kota Tinggi. Malah hampir 75 ribu penduduk sekitar Simpang Renggam, Ayer Hitam dan Kulai terputus bekalan air pada Mac lalu.

“April berlaku pula pencemaran ammonia bermula di Sungai Sayong, Kulai yang memberi kesan lebih sejuta pengguna di sebahagian Johor Bahru, Kulai dan Kota Tinggi manakala yang terbaharu Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam pula terpaksa ditutup akibat pencemaran ammonia di Sungai Ulu Benut,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, katanya, tindakan Exco Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse yang hanya memberikan maklumat asas sepanjang berlakunya keadaan itu turut menyerlahkan kelemahan kerajaan negeri dalam usaha menyelesaikan masalah.

“Bagaimanapun saya rasa kerajaan negeri hari ini sudah sedar bahawa isu air Johor adalah perkara yang memerlukan pelan tindakan strategik, radikal dan menyeluruh. Bukan semudah dan seringkas apa yang mereka canangkan sebelum ini.

“Inilah masa untuk membuktikan bahawa Kerajaan PH sebenarnya boleh memikirkan alternatif yang lebih baik dan inovatif. Bukan sekadar pandai merungut dan menuding jari atas kelemahan orang lain,” katanya.