Cadang bina loji mini di kawasan kritikal atasi gangguan air

Abdul Muthalib (empat dari kiri) beramah mesra dengan tetamu yang hadir memeriahkan rumah terbuka di kediamannya di Alor Setar pada Isnin.
Abdul Muthalib (empat dari kiri) beramah mesra dengan tetamu yang hadir memeriahkan rumah terbuka di kediamannya di Alor Setar pada Isnin.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri disaran membina mini loji air di kawasan kritikal bagi mengatasi masalah bekalan air sebagai langkah segera sebelum Loji Rawatan Air (LRA) siap dibina.

Ketua UMNO Bahagian Kuala Kedah, Datuk Abdul Muthalib Harun berkata, cadangan berkenaan pernah dikemukakan tiga tahun lalu namun masih tiada tindakan segera diambil bagi menyelesaikan masalah rakyat yang berlarutan sejak sekian lama.

Menurutnya, Kuala Kedah antara kawasan yang sering mengalami gangguan bekalan air melibatkan 35,000 akaun pengguna.

“Saya pernah cadangkan kepada kerajaan negeri supaya bina mini loji di Kuala Kedah untuk penyelesaian jangka pendek.

"Kerajaan negeri boleh mohon dana atau pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan, sebab itu kita mahu kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan sealiran supaya kita dapat selesaikan masalah rakyat,” katanya pada sidang akhbar di Rumah Terbuka Aidilfitri Ketua Umno Bahagian Kuala Kedah, di sini pada Isnin.

Abdul Muthalib berkata, cadangan tersebut turut dibangkitkan dalam forum Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) namun alasan yang diberikan kerajaan negeri ketika itu adalah ia tidak sesuai dibina berdasarkan kepada kesesuaian air mentah.

“Mini loji ada dibina di tempat lain dan terbukti berjaya selesaikan masalah bekalan air. Kita ada Lembaga Sumber Air Negeri (LSAN) yang boleh lakukan kajian berkaitan kesesuaian bekalan air mentah dan mungkin dapat hasilkan kaedah terbaik untuk meneruskan cadangan itu,” jelasnya.

Menurutnya lagi, pihaknya berharap kerajaan negeri mempercepatkan proses pembinaan mini loji di Kuala Kedah dan bukan hanya menunggu sehingga lima tahun lagi untuk LRA siap sepenuhnya.

“Mini loji boleh disiapkan dalam tempoh setahun berdekatan dengan sumber bekalan air. Kalau hendak tunggu LRA siap, tak akan selesai masalah.

"Seharusnya ada pelan kontingensi jangka pendek dan bila LRA siap, hanya tingkatkan bekalan kepada pengguna khususnya di Kuala Kedah,” ujarnya.

Abdul Muthalib berkata, penduduk di Kuala Kedah telah lama berdepan masalah bekalan air namun masih tiada tindakan proaktif daripada kerajaan negeri, khususnya setiap kali musim perayaan.

“Kita desak Menteri Besar selaku Pengerusi Syarikat Air Darul Aman (SADA) ambil peduli masalah rakyat. Jangan asyik bersandiwara, kerajaan negeri tidak boleh beri pelbagai alasan, mereka perlu bertanggungjawab dan tidak boleh menyalahkan kerajaan terdahulu. Rakyat tak mahu lagi dengar masalah ini berlarutan,” jelasnya.

Beliau turut menyifatkan pelan kontingensi SADA yang dilaksanakan gagal memenuhi kehendak pengguna.

“Pelan berkenaan tidak berjaya dan gagal dilaksanakan kerana sehingga kini masih terdapat gangguan bekalan air. Mungkin yang ada hanya pelan tetapi tindakan tidak ada dan membuatkan rakyat terus menderita.

“Aduan menerusi pusat sehenti atau call center juga tidak berkesan apabila kebanyakan aduan tidak ditangani sebaiknya. Ini termasuk penghantaran air menggunakan lori tangki kerana ia tidak dapat menyelesaikan masalah rakyat,” ujarnya.

Tambahnya, MBAS pernah membekukan pembangunan di kawasan Kuala Kedah bagi memberi laluan kepada kerajaan negeri menyelesaikan masalah bekalan air terlebih dahulu.

“Namun ia tetap tidak berkesan kerana rakyat perlukan perumahan, cuma bekalan air yang menjadi masalah kepada penduduk di sini. Saya harap SADA lebih proaktif dan bertindak segera untuk selesaikan masalah pengguna yang memerlukan air,” katanya.