SAINS aktifkan PTK pantau gangguan air musim perayaan

Gambar hiasan - Foto fail Bernama
Gambar hiasan - Foto fail Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) mengaktifkan Pelan Tindakan Kontingensi (PTK) selama enam hari bermula 20 April ini bagi tujuan memantau dan menangani sebarang gangguan bekalan air di seluruh Negeri Sembilan sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat SAINS, Norzita Ismail berkata, sepanjang pelaksanaan PTK, petugas-petugas SAINS diletakkan dalam keadaan bersedia 24 jam bagi memastikan gangguan yang berlaku pada tahap minimum.

"Bagi tempoh sebelum PTK ini, SAINS terus melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan berterusan secara bersepadu melibatkan aset dan infrastruktur air seperti pemantauan paras kolam, melakukan servis injap kawalan tekanan dan memastikan rumah-rumah pam dalam keadaan baik terutamanya menjelang perayaan.

"SAINS berusaha menghentikan sebarang kerja-kerja penyelenggaraan sepanjang tempoh PTK yang boleh mengganggu operasi loji rawatan air dan sistem agihan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Ujarnya, pelanggan juga dinasihatkan supaya menggunakan air secara berhemat dan melakukan persediaan bekalan air simpanan dalam tempoh 24 jam sekiranya berlaku gangguan bekalan air disebabkan perkara di luar jangka.

"Perkara luar jangka itu seperti pencemaran kualiti air mentah yang mengakibatkan loji rawatan air terpaksa mengurangkan pengeluaran atau menutup operasi, berlakunya tekanan air rendah disebabkan oleh penggunaan air berganda pada waktu puncak serta berpunca daripada gangguan bekalan elektrik di loji dan rumah pam selain insiden paip pecah.

"Kerjasama daripada semua pelanggan adalah sangat diharapkan agar melaporkan sebarang insiden paip pecah kepada pihak SAINS supaya tindakan segera dapat diambil dan dingatkan juga bahawa tempoh pemulihan setiap kawasan gangguan berbeza mengikut jarak dan ketinggian kawasan," katanya.

Mengulas mengenai pelaksanaan PTK, beliau berkata, SAINS telah mengaturkan persediaan dengan 10 buah lori tangki dan 65 buah tangki statik yang akan ditempatkan di kawasan tinggi dan di penghujung sistem retikulasi serta beberapa lokasi yang telah dikenal pasti sering berlaku masalah tekanan air rendah ketika musim perayaan.

"Para pelanggan yang ingin membuat sebarang aduan atau pertanyaan boleh menghubungi talian bebas tol SAINS 1-800-88-6982 yang beroperasi selama 17 jam sehari bermula dari jam tujuh pagi sehingga 12 tengah malam setiap hari.

"Setiap kawasan gangguan boleh dilayari di laman web SAINS: www.sainswater.com, Facebook Pusat Khidmat Pelanggan SAINS atau melalui aplikasi iSAINS," katanya.