Bawa pulang rakyat jika keadaan di Sudan bertambah tegang - Agong

Laporan Sinar Harian pada Ahad.
Laporan Sinar Harian pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyarankan kerajaan bersedia untuk membawa pulang rakyat Malaysia di Sudan sekiranya konflik di negara itu bertambah tegang.

Menerusi catatan di laman Facebook Istana Negara hari ini, Seri Paduka dalam titah baginda menyeru seluruh rakyat untuk bersama baginda mendoakan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia yang berada di Sudan berikutan krisis yang berlaku di negara itu ketika ini.

"Seri Paduka turut menyeru seluruh masjid mengadakan solat hajat dan doa selamat memohon ihsan Allah SWT agar rakyat Malaysia berada di bawah lindungan-Nya dan ketegangan di Sudan dapat dihentikan dengan segera," menurut catatan itu.

Konflik di Sudan yang melibatkan dua pihak iaitu Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF), telah mencetuskan pergolakan politik serta menggugat keselamatan di negara itu.

Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dalam kenyataan semalam menasihati rakyat Malaysia di Sudan supaya berjaga-jaga dan tidak mengambil risiko untuk keluar buat sementara.

Zambry berkata, Mesyuarat Antara Agensi diadakan pagi semalam untuk mendapatkan maklumat terkini situasi semasa di Sudan dan berbincang mengenai cadangan yang sesuai bagi memastikan keselamatan rakyat Malaysia di negara itu terjamin semasa konflik. - Bernama