ACFIN buat kajian kenal pasti simpanan selepas beri subsidi

Nurul Izzah bercakap kepada pemberita selepas menyantuni golongan B40 di sekitar Lorong Haji Taib pada Rabu.
Nurul Izzah bercakap kepada pemberita selepas menyantuni golongan B40 di sekitar Lorong Haji Taib pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sekretariat Jawatankuasa Penasihat Menteri Kewangan (ACFIN) sedang melakukan kajian bagi mengenal pasti bentuk simpanan yang dapat dilaksanakan selepas sasarkan pemberian subsidi kepada rakyat.

Ketua Bersama Sekretariat, Nurul Izzah Anwar berkata, pada masa ia juga melengkapi bantuan bulanan dan beberapa cadangan lain yang akan diputuskan oleh kerajaan.

“Yang penting kami mahu seboleh mungkin belajar kerana kadang kala kita baca di buku lain.

"Insya-ALLAH di bawah jawatankuasa ini akan terus dampingi (masyarakat) untuk menjelaskan tugasan telah diberikan dalam keempat jawatankuasa diketuai Pengerusi, Tan Sri Hassan Marican dan pakar penasihat di bawah Kementerian Kewangan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyantuni golongan B40 di sekitar Lorong Haji Taib di sini pada Rabu.

Pada 31 Mac lepas, ACFIN telah memulakan tugasnya dalam empat bidang tumpuan mengikut mandat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Nurul Izzah berkata, empat bidang tumpuan itu adalah hasil dan perbelanjaan kerajaan; subsidi dan perlindungan sosial; syarikat berkaitan kerajaan serta hutang negara.

Sementara itu, Nurul Izzah menjelaskan sebahagian daripada tugasan ahli di bawah jawatankuasa itu juga adalah untuk menyediakan dasar dan langkah ke hadapan bagi mewujudkan jaringan keselamatan sosial yang mencukupi.

“Ramai daripada masyarakat kita yang tak cukup dana lepas pencen contohnya. Jadi ini adalah sebahagian daripada kepentingan untuk kita cakna,” ulasnya.

Terdahulu, Nurul Izzah menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas kepada 40 keluarga selain menyantuni beberapa keluarga terpilih di sekitar Lorong Haji Taib.

Menurutnya, setiap keluarga menerima barang keperluan asas bernilai RM150.

Sementara itu, Norasyikin Syakila Abdullah, 30, berkata, pemberian sumbangan barangan keperluan asas itu membolehkan dia dapat berjimat untuk membeli kelengkapan kelengkapan raya lain.

"Terima kasih atas keprihatinan Nurul Izzah yang merupakan pemimpin politik pertama datang ke rumah untuk tanya khabar dan beri bantuan selain memberi kata-kata semangat kepada saya untuk bangkit mengubah nasib keluarga," ujarnya.