Musim perayaan bukan masa terbaik baiki jalan 'menggerutu'

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

Merak Jalanan musykil dengan cara pihak pengurusan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dalam merancang dan mengatur gerak kerja membaiki kerosakan jalan ketika musim perayaan.

Memang setiap kali orang ramai balik raya, lebuh raya tersebut akan menerima hampir tiga juta kenderaan dengan keadaan trafik bergerak perlahan dan kadangkala terhenti di lokasi tertentu.

Dari dulu lagi tiga lorong bagi laluan dari Kuala Lumpur ke Karak belum mampu melancarkan aliran trafik ketika musim perayaan.

Apa yang berlaku semalam membuatkan ramai marah apabila terperangkap dalam kesesakan berjam-jam sejauh 11 kilometer kerana lorong ditutup untuk kerja penyelenggaraan.

Mustahil pihak pengurusan lebuh raya tidak dapat menjangkakan sebarang kemungkinan kesesakan jika kerja baik pulih dilakukan ketika ratusan ribu kenderaan memasuki laluan berkenaan.

Jika kerosakan teruk seperti lubang dalam, keretakan atau tanah runtuh, logiklah juga diperbaiki segera tanpa mengira masa. Tetapi jika setakat baiki permukaan jalan 'menggerutu', kerja-kerja itu masih boleh ditangguhkan. Lagi pun dalam beberapa hari ini, jumlah kenderaan memasuki lebuh raya tersebut terlalu banyak maka kereta bukan boleh dipandu laju.

Pihak pengurusan pasti memberikan alasan atas faktor keselamatan dan jika kerosakan jalan tidak dibaiki, nanti orang ramai merungut serta dituduh tidak buat kerja.

Namun tindakan menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan ketika orang ramai sedang kalut nak balik raya hanya menambahkan kecaman orang ramai terhadap pengurusan lebuh raya.

Merak Jalanan tidak tahu kaedah menguruskan lebuh raya tetapi sebagai seorang pengguna, Merak Jalanan mahu semua kerja-kerja baiki jalan ditangguhkan.

Jangan biarkan orang ramai maki-hamun dalam kereta masing-masing sambil memandang tajam kepada pekerja yang sedang membaiki jalan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!