Nilai cinta dalam pendidikan

A
A
A

TIDAK semua orang boleh menjadi guru. Bukan mudah untuk mendidik, terutamanya mereka yang tidak mahu belajar dan dipaksa untuk belajar.

Kalau dahulu, guru diberikan kuasa yang besar untuk mendidik, sehinggakan timbul ungkapan, “Didiklah anak kami, asalkan jangan patah dan buta sahaja”.

Namun hari ini, peranan guru menjadi semakin sukar kerana impak persaingan yang begitu tinggi dalam masyarakat. Natijahnya, hanya kecemerlangan dituntut untuk anak-anak mereka.

Pembentukan nilai dan sahsiah pelajar sudah tidak menjadi keutamaan lagi. Apa yang penting, berapa banyak jumlah ‘A’ yang diperoleh.

Sebetulnya saban tahun 16 Mei merupakan tarikh keramat untuk semua warga guru di Malaysia. Pun begitu, pada tahun ini hampir kebanyakan sekolah meraikan lebih awal sambutan Hari Guru kerana tidak mahu bertembung dengan Ramadan.

Tarikh 16 Mei dipilih sebagai Hari Guru kerana pada tarikh yang sama dalam tahun 1956 Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu telah menerima cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran sebagai dasar pelajaran bagi negara kita yang dikenali sebagai Laporan Razak.

Terdapat beberapa objektif sambutan Hari Guru antaranya ialah: Memupuk perasaan perpaduan dan muhibah di antara guru, menarik perhatian ibu bapa, murid dan masyarakat betapa pentingnya peranan guru dalam masyarakat Malaysia serta meninggikan martabat dan taraf guru dalam masyarakat.

Sehari dua ini, saya cukup teruja melayari pelbagai tema pakaian sambutan Hari Guru untuk disesuaikan dengan tema pada tahun ini iaitu Guru, "Obor Hemah Menyinari Pertiwi" dalam pelbagai medium media baharu.

Artikel Berkaitan:

Ada sekolah yang memakai pakaian bertemakan zaman kesultanan Melaka. Ada juga sekolah yang memilih tema pakaian: "Jika aku bukan guru", "Sama tapi tidak serupa", tema pakaian 1960-an, pakaian rock dan pelbagai lagi.

Terlintas juga di pemikiran saya bagaimana kesemua tema pakaian itu hendak dikaitkan dengan tema sambutan Hari Guru. Pun begitu, tidak mengapalah kerana kesemuanya mempunyai objektif yang sama untuk tingkatkan lagi muhibah sesama warga guru serta pelajar.

Sewaktu saya bersekolah dahulu dan juga sewaktu saya bertugas sebagai seorang guru, tema pakaian sebegini masih lagi belum tular dalam kalangan warga pendidik di Malaysia. Siapa dan sekolah mana yang memulakan budaya sebegini, saya pun tidak pasti.

Hakikatnya masa telah berubah dan gaya pemikiran juga sudah berbeza. Namun begitu, hakikat dan tujuan utama mendidik harus sentiasa dijunjung. Sebetulnya, penerapan nilai cinta dan kasih sayang amat penting dalam pendidikan. Bukan mudah untuk menguruskan emosi dan pemikiran pelajar daripada pelbagai budaya dan latar belakang.

Kadangkala, timbul juga perasaan sedih, geram, kecewa dan putus asa sepanjang mengerah keringat sebagai guru. Namun jika kita tanamkan sifat cinta semasa mendidik, tentunya sikap untuk membantu dan membina tidak akan pernah padam.

Malah, Buya Hamka pernah berkata, “Cinta bukan melemahkan hati, bukan membawa putus asa, bukan menimbulkan tangis sedu-sedan, tetapi cinta menghidupkan pengharapan”.

Persoalannya, bagaimana cinta boleh menghidupkan harapan dalam pendidikan. Secara prinsipnya, proses mendidik ini seumpama kita menanam sebiji benih di dalam tanah.

Bagi menghidupkannya, kita perlu jaga dan siram benih berkenaan sehingga menumbuhkan akar, menjadi batang, menjalarkan ranting, melebatkan daun dan buah dan akhirnya menyebarkan pula benih-benih baharu ke atas tanah.

Bagi menerapkan nilai cinta dalam pendidikan, para guru harus bertindak sebagai murabbi atau pendidik dan bukannya sebagai mualim atau pengajar semata-mata.

Sebetulnya, terdapat banyak perbezaan nilai cinta semasa mendidik di antara murabbi dan mualim. Jika mualim itu memberitahu, murabbi akan memastikan yang dididik itu memahami apa yang diberitahu.

Jika mualim berada bersama yang dididik pada masanya, murabbi pula akan bersama yang dididik sepanjang masa. Sekiranya mualim itu bersama yang dididik secara zahir, murabbi pula bersama yang dididik secara zahir dan batin.

Hakikatnya hanya nilai cinta sahaja boleh menyatukan semua hati dalam pendidikan. Selamat Hari Guru!

* Prof Madya Dr Huzili ialah Dekan Pusat Pengajian Pembangunana Insan dan Teknokomunikasi Universiti Malaysia Perlis