Enam beradik buka episod baharu di Melaka

Muhammad Daniel (kanan) bersama nenek, Wan Zaini dan adik -adiknya.
Muhammad Daniel (kanan) bersama nenek, Wan Zaini dan adik -adiknya.
A
A
A

MELAKA - Meskipun datuk dan nenek hanya menetap di rumah sewa, namun enam beradik yatim bersyukur dapat menumpang kasih dua individu itu yang sentiasa mengambil berat terhadap mereka.

Muhammad Daniel Mohd Radzi,18, berkata, kerana itu dia dan adik-adiknya mengambil keputusan berpindah ke Melaka untuk memulakan kehidupan baharu setelah kematian ibunya, Rubiah Sabtu, 41, pada awal bulan ini.

Menurutnya, sementara menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dia akan menjaga adik-adik sambil membantu ibu saudara serta nenek, Wan Zaini Wan Abdullah, 60, menjual nasi dagang, memandangkan datuk mereka, Aziz Mustaffa,68, mengidap sakit jantung.

Muhammad Daniel berkata, dia juga berhasrat untuk tidak menyambung pelajaran kerana saat ini adalah lebih penting untuk bekerja meringankan beban keluarga.

Muhammad Daniel (kiri) bersama adik-beradiknya yang menerima kehadiran Tuminah (kanan) di rumah sewa mereka di Taman Tangga Batu Perdana.
Muhammad Daniel (kiri) bersama adik-beradiknya yang menerima kehadiran Tuminah (kanan) di rumah sewa mereka di Taman Tangga Batu Perdana.

"Sekurang-kurangnya kami adik-beradik tidak berpisah dan saya boleh melihat adik-adik yang masih kecil dan yang memerlukan kasih sayang setiap hari.

"Lagipun arwah selalu pesan supaya saya menjaga adik-adik dan tidak menyusahkan nenek serta datuk," katanya kepada pemberita ketika menerima kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Tuminah Kadi di Taman Tangga Batu Perdana di sini, pada Isnin.

Sementara, itu, Tuminah berkata, nasib enam anak Allahyarham Rubiah akan mendapat pembelaan daripada kerajaan negeri termasuk pihaknya akan menyokong permohonan menerima bantuan sara hidup dan persekolahan.

Menurutnya, selain itu kebajikan pasangan mentua Allahyarham Rubiah yang mengambil tanggungjawab membela enam cucu mereka itu, akan diberikan perhatian.

Enam beradik melihat baju raya yang berwarna biru yang dihadiahkan oleh Tuminah (kanan).
Enam beradik melihat baju raya yang berwarna biru yang dihadiahkan oleh Tuminah (kanan).

"Kita dimaklumkan Abdul Aziz, 68, menghidap penyakit jantung dan perlukan rawatan susulan di Institut Jantung Negara (IJN) jadi kita akan terus pantau keluarga ini," katanya.

Sinar Harian pada 5 April lalu melaporkan seorang wanita maut dipercayai dipukul dengan tukul besi oleh suaminya dalam kejadian di rumah mereka di Kampung Besol, Bukit Besi.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa, Rubiah Sabtu, 41, meninggal dunia di lokasi kejadian ekoran kecederaan parah di bahagian muka.