Pemain industri tolak cadangan laksana GEG untuk vape

Pemain industri rokok elektronik di seluruh negara menolak cadangan KKM untuk melaksanakan GEG untuk vape. - Gambar hiasan
Pemain industri rokok elektronik di seluruh negara menolak cadangan KKM untuk melaksanakan GEG untuk vape. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 11 pemain industri rokok elektronik di seluruh negara menyatakan pendirian menolak cadangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk melaksanakan generasi penamat (GEG) untuk vape.

Menerusi satu kenyataan bersama pada Isnin, pemain-pemain industri vape itu berkata, kerajaan tidak sewajarnya mengambil tindakan drastik mengharamkan produk berkenaan kerana ia telah digunakan secara meluas ketika ini, sebaliknya perlu mengambil pendekatan lebih sederhana dalam mengatasi perkara tersebut.

Kenyataan bersama itu terdiri daripada Presiden Persatuan Peruncit Peranti dan Cecair Rokok Elektronik (MRECA), Datuk Adzwan Ab Manas; Pengarah Urusan NSTY Worldwide Sdn Bhd, Shariffuddin Bujang; Pengarah Urusan Vape Empire Distribution Sdn Bhd, Zachary Oh dan Setiausaha Agung Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM), Ridhwan Rosli.

Turut menyatakan pendirian sama, Pengarah Urusan Bangsawan Distribution Sdn Bhd, Redzuan Rahim; Presiden Persatuan Peniaga Vape Melayu Malaysia (PPVM), Mohd Sabri Ismail; Presiden Malaysian Vape Industry Advocacy (MVIA); Rizani Zakaria dan Pengarah Urusan, Gadget Union Distribution, James Tan.

Senarai lain adalah Pengarah The Vape69 Sdn Bhd, Shamsul Bahri Ismail; Pengarah Urusan VV Venture Sdn Bhd, Mohd Firdaus dan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Terkini Negeri Sembilan, Md Sani Md Shah

"Pada minggu lalu, Timbalan Menteri Kesihatan (Lukanisman Awang Sauni) dan pegawai-pegawai KKM telah mengadakan suatu mesyuarat bersama wakil pemain industri tempatan untuk berbincang hala tuju kawal selia setelah cecair vape bernikotin telah dikecualikan daripada Akta Racun untuk mula dikawal selia dan dicukaikan.

"Dalam mesyuarat tersebut, pegawai-pegawai KKM menyatakan pendirian dan bertegas untuk melaksanakan GEG yang dicadangkan oleh mantan Menteri Kesihatan sebelum ini, walaupun ia telah menerima tentangan daripada pelbagai pihak.

"Pemain industri vape telah menolak cadangan tersebut kerana ia akan memberikan kesan kepada industri dan menyatakan bahawa lebih banyak kajian perlu dilakukan sebelum sebarang keputusan dibuat," katanya.

"Baru-baru ini, industri telah dimaklumkan pihak berkuasa di Jabatan Kastam Diraja Malaysia bahawa pengimportan produk vape bernikotin masih terlarang dan tidak dibenarkan oleh KKM dan walaupun ia telah dibangkitkan kepada pihak berkenaan di kementerian itu, perkara ini masih tidak diselesaikan.

"Langkah ini adalah tidak wajar dan ia adalah bertentangan dengan pengumuman kerajaan untuk memulakan kawal selia percukaian ke atas produk vape yang telah mula sejak dua minggu lalu," katanya.

Justeru katanya, pemain industri memohon agar KKM mengambil langkah secepat mungkin untuk menarik balik sekatan tersebut selaras dengan permulaan kawal selia percukaian ke atas produk vape," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, kumpulan berkenaan turut memohon agar KKM mengambil tindakan untuk menarik balik sekatan dan larangan import produk vape bernikotin sedia ada untuk membolehkan produk dapat diimport secara sah dan berbayar cukai.

Pada 1 April lalu, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa memaklumkan KKM akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) baharu bagi mengawal sediaan nikotin dalam cecair rokok elektronik atau vape ketika sesi Parlimen pada Mei ini.

Perkembangan terbaharu itu, susulan keputusan kontroversi kerajaan pada hari sebelumnya yang mengeluarkan cecair dan gel nikotin dari senarai Akta Racun.

Pada Belanjawan 2023 lalu juga, kerajaan memutuskan untuk mengenakan duti eksais ke atas produk cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik atau vape.

Kerajaan dalam masa sama juga bersetuju mewartakan duti eksais bagi cecair vape dengan kandungan nikotin pada kadar 40 sen setiap mililiter (ml) dalam usaha mengenakan cukai produk cecair atau gel yang mengandungi nikotin itu.