Harap SPAN benar LRA Sungai Ganda dibuka semula: MB Perak

Ahmad Faizal (tiga, kiri) bersama enam Tok Batin dari enam kampung Orang Asli yang bakal menerima bekalan air terawat di daerah Batang Padang.
Ahmad Faizal (tiga, kiri) bersama enam Tok Batin dari enam kampung Orang Asli yang bakal menerima bekalan air terawat di daerah Batang Padang.
A
A
A

IPOH - Pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) diharap dapat memberikan kebenaran membuka semula Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Ganda di Gerik setelah Timbalah Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye mengesahkan air di kawasan berkenaan selamat digunakan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, permohonan berhubung kebenaran berkenaan dibuat demi memberikan kemudahan kepada penduduk setempat, khususnya menjelang Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Menurut Ahmad Faizal pihaknya juga telah menghubungi Pengurus Besar Lembaga Air Perak (LAP), Datuk Mohd Yusof Mohd Isa berhubung perkara berkenaan.

“Saya berharap selepas kenyataan daripada Timbalan Menteri itu, SPAN dapat memberi sedikit ruang kepada penduduk untuk menggunakan air untuk mencuci, mandi selain daripada untuk tujuan minuman atau makanan.

“Tambahan pula bulan Ramadan semakin hampir dan kemudian tiba pula Hari Raya, amat sukar jika tiada air dan terpaksa mengambil daripada tangki,” katanya.

Ahmad Faizal berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MOU) antara Yayasan Sultan Azlan Shah (YSAS) dan Imam Response & Relief Team (Imaret) di Hotel Impiana, hari ini.

Difahamkan, pembinaan 10 unit sistem rawatan air berkuasa solar (SafeWhere) yang melibatkan dana keseluruhan sekitar RM1,000,000 juta (termasuk kos penyelanggaraan bagi tempoh 10 tahun serta empangan mini) itu dijangka siap Ogos depan dan melibatkan enam perkampungan Orang Asli di daerah Batang Padang.

Sementara itu, Ahmad Faizal berkata dia telah menulis surat kepada Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) serta menemui Menterinya, Dr Xavier Jayakumar di Parlimen untuk menarik semula arahan penutupan loji berkenaan dan membukanya semula demi kemudahan masyarakat setempat.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun katanya, pihak KATS memaklumkan mereka tidak dapat menarik arahan berkenaan kecuali mendapat pengesahan daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Walaupun kita tahu lori dan tangki bekalan air sementara bagi penyediaan air bersih kepada penduduk setempat mencukupi, namun kita tetap berharap agar pihak SPAN dapat menarik balik arahan berikutan kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Menteri Kesihatan,” katanya.