Tindakan undang-undang kepada penjual mercun haram

Nga Kor Ming
Nga Kor Ming
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menegaskan tindakan undang-undang dikenakan kepada penjual yang tidak mempunyai permit sah berhubung penjualan mercun di tempat terbuka dan awam.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, ini bagi memastikan penjual yang mempunyai permit sah sahaja boleh menjual jenis bunga api dibenarkan.

"Semua akan tertakluk pada lunas undang-undang maka mereka yang buat tanpa kebenaran dan tiada permit terpaksa hadapi penguatkuasaan undang-undang.

"Saya nasihatkan orang ramai supaya tidak lupa lima prinsip Rukun Negara iaitu Kedaulatan Undang-Undang maka mereka perlu hormat semua peruntukan akta sedia ada supaya sentiasa menjaga bukan sahaja keselamatan diri tetapi ketenteraman awam juga amat penting," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Emergency Medical Air Rescue Services (EMARS) di sini pada Sabtu.

Turut hadir, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa dan Ketua Pengarah JBPM, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin.

Pada 3 Februari lepas, Kor Ming berkata, aktiviti pembakaran serta penjualan bunga api dan mercun dalam negara akan dibenarkan tidak lama lagi, tertakluk kepada peraturan serta garis panduan baharu yang akan dikeluarkan.

Beliau berkata, perkara tersebut dipersetujui dalam mesyuarat Jemaah Menteri semalam, sebagai antara langkah yang boleh meningkatkan pendapatan negara, dan kerajaan akan mengawal aktiviti penjualannya di peringkat sumber iaitu pemborong dan pengimport.

Sementara itu, ketika ditanya tentang garis panduan penjualan mercun daripada pihak berkuasa tempatan (PBT), Kor Ming memaklumkan perkara berkenaan perlu dirujuk kepada kenyataan media dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution.

"Peraturan mercun berkenaan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) di bawah Saifuddin dan beliau telah keluarkan kenyataan media.

"Boleh rujuk kenyataan beliau sebelum ini di mana ada tekankan secara menyeluruh apa yang dibenarkan dan apa tidak dibenarkan," ulasnya.

Pada 2 April lepas, Saifuddin memaklumkan sebarang bentuk penjualan mercun dan bunga api secara dalam talian adalah dilarang, walaupun ia membabitkan jenis produk yang dibenarkan untuk dijual.

Beliau berkata, perkara itu merupakan sebahagian daripada garis panduan yang diputuskan oleh KDN yang memberi kebenaran kepada penjualan 46 bunga api jenis 'happy boom' dan pop-pop.