Jumlah pembaca al-Quran di Malaysia melonjak

Program World #QuranHour 22 Ramadan 1444H/ 13 April 2023 di Lokasi Perdana, Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, UIAM, Gombak pada Khamis. - FOTO MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
Program World #QuranHour 22 Ramadan 1444H/ 13 April 2023 di Lokasi Perdana, Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, UIAM, Gombak pada Khamis. - FOTO MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
A
A
A

GOMBAK - Penganjuran World #QuranHour yang diasaskan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) berjaya membentuk masyarakat Islam di Malaysia yang membudayakan bacaan al-Quran.

Pengasas WUIF, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, ia dibuktikan apabila jumlah umat Islam yang membaca kitab suci itu meningkat dengan ketara.

"Dulu kita anggap ramai dalam kalangan kita (umat Islam) yang tidak baca al-Quran, jadi sebab itulah kita wujudkan program atau lebih tepat lagi kempen ini.

"Alhamdulillah, kita berjaya menarik minat sedikit demi sedikit untuk umat Islam membaca al-Quran kerana konsep tadabbur yang kita terapkan ini.

"Saya kira orang baca al-Quran di Malaysia (sekarang ini) meningkat beratus peratus," katanya ketika sidang akhbar sebaik selesai Program World #QuranHour 2023 yang berlangsung di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini pada Khamis.

Hussamuddin yang juga Penasihat Kumpulan Karangkraf dalam masa sama turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak dalam menjayakan program tahunan itu.

Hussamuddin ketika sidang akhbar sebaik selesai Program World #QuranHour 2023 yang berlangsung di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, UIAM, Gombak pada Khamis. - Foto MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
Hussamuddin ketika sidang akhbar sebaik selesai Program World #QuranHour 2023 yang berlangsung di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, UIAM, Gombak pada Khamis. - Foto MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH

"Saya juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada tuan rumah UIAM yang juga menjadi lokasi perdana pada tahun ini kerana memberikan kerjasama yang sangat baik.

"Program tahun ini juga lebih bermakna dengan kehadiran tetamu diraja, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah," katanya.

Terdahulu, Tunku Azizah mencemar duli berangkat ke Program World #QuranHour 2023.

Seri Paduka Baginda tiba di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, UIAM pada jam 11.45 pagi bagi meluangkan masa mendengar bacaan Surah Al-Insan yang dipilih sebagai surah pilihan untuk edisi kali ini.

Ini merupakan kemunculan kedua Tunku Azizah yang pernah menghadiri program tersebut buat kali pertama di lokasi perdana, Studio TV AlHijrah pada 26 April tahun lalu.

World #QuranHour tahun ini mengangkat tema 'Memanusiakan Ummah' melalui agenda memanusiakan diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Penganjuran edisi kelapan tahun ini diadakan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), UIAM, Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia (MPAM) dan beberapa rakan sinergi media antaranya Sinar Harian, Bernama, Astro Oasis, Astro Awani dan TV9.

Program yang bermula sejak 2015 itu dilihat sebagai jenama terkenal untuk mempromosikan budaya membaca al-Quran dalam kalangan umat Islam.