Pengampunan kepada Najib budi bicara Agong - Azalina

Azalina berucap pada Majlis Pelancaran Laman Web Rasmi Malaysia-Sulucase.gov.my di Bangunan Perdana Putra, pada Rabu. - Foto Bernama
Azalina berucap pada Majlis Pelancaran Laman Web Rasmi Malaysia-Sulucase.gov.my di Bangunan Perdana Putra, pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Permohonan pengampunan diraja bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak melibatkan aspek perundangan sebaliknya terletak sepenuhnya kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ia merupakan kuasa Yang di-Pertuan Agong yang termaktub dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

"Tiada lagi aspek perundangan... dia punya prosedur perundangan sudah tidak ada, sekarang adalah budi bicara Agong, jadi kita pun tak boleh paksa-paksa.... biarlah Yang di-Pertuan Agong buat keputusan, atau mahu kaji... kita orang (UMNO) dah tak terlibat,” katanya.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) berkata demikian ketika ditanya mengenai pandangan peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla bahawa UMNO tidak boleh memfailkan permohonan pengampunan bagi pihak Najib.

Haniff sebelum ini dilaporkan berkata, mengikut Peraturan 113, Peraturan-Peraturan Penjara 2000, petisyen pengampunan itu hanya boleh dilakukan oleh Najib sendiri, ahli keluarga atau peguam yang dilantik oleh Najib dan Jabatan Penjara.

Azalina berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran laman web Malaysia-Sulucase.gov.my di sini pada Rabu yang turut dihadiri Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Sebelum ini, media melaporkan Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang bermesyuarat Jumaat lepas, sebulat suara bersetuju memohon menghadap bagi mempersembahkan warkah rayuan kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon ihsan untuk mempertimbangkan pengampunan penuh kepada Najib.

Najib kini menjalani hukuman 12 tahun penjara setelah Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022 mengekalkan sabitan dan hukuman penjara itu serta denda RM210 juta setelah didapati bersalah menyeleweng RM42 juta dana milik SRC International Sdn Bhd.

Pada 31 Mac 2023, Najib gagal dalam permohonannya untuk menyemak sabitan dan hukuman itu.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu pada September tahun lepas telah memfailkan permohonan pengampunan diraja. - Bernama