KDN terima aduan perkauman libatkan Abdul Hadi, Muhammad Fawwaz

Saifuddin Nasution (tengah) ketika memberi tazkirah di dataran Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Isnin.
Saifuddin Nasution (tengah) ketika memberi tazkirah di dataran Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Siasatan berhubung kenyataan berunsur perkauman oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang serta Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan sedang dijalankan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya menerima sejumlah aduan yang dibuat berkaitan perkara tersebut.

"Saya cuma boleh sahkan sejumlah aduan yang dibuat, kemudian kertas siasatan telah dibuka.

"Biar proses siasatan itu berlaku dahulu, dan kemudian ia akan dikemukakan kepada pejabat Peguam Negara. Setakat itu dahulu, saya mengesahkan perkara tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian selepas sesi Town Hall Rakyat anjuran Sinar Harian di Kompleks Karangkraf di sini pada Isnin.

Selepas itu, Saifuddin Nasution meluangkan masa berbuka puasa di Program Iftar ala Madinah @Karangkraf.

Turut bersamanya ialah Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia,

Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, Zamri Misman, pegawai tertinggi jabatan serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Saifuddin Nasution sebelum itu sempat memberi tazkirah kira-kira lima minit kepada pengunjung program terbabit di dataran Kompleks Kumpulan Karangkraf.

Beliau kemudian bersama pegawainya menunaikan solat Maghrib.

Sebelum ini, Muhammad Fawwaz yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh didakwa membuat fitnah ke atas orang bukan Islam dan kenyataan dilaporkan Abdul Hadi berkenaan golongan bukan Islam dan bukan Bumiputera adalah punca gejala rasuah di Malaysia.

Abdul Hadi menerusi kenyataannya pada Ogos tahun lalu, mendakwa golongan bukan Islam dan bukan Bumiputera sebagai kumpulan majoriti menjadi perosak politik dan ekonomi negara, selain memberi perbandingan melawan rasuah dengan usaha mencegah 'penyakit denggi'.