Pekerja sendiri wajib carum SKSPS untuk baharui lesen vokasional

Datuk Hasbi Habibollah. - Foto: Bernama
Datuk Hasbi Habibollah. - Foto: Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - Pendaftaran dan caruman di dalam Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) akan menjadi salah satu syarat wajib terhadap permohonan pembaharuan lesen vokasional bagi mereka yang tergolong dalam kategori bekerja sendiri.

Ia selaras dengan Rang Undang-undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2023 yang diluluskan dengan lebih suara bersetuju, selepas dibahaskan seramai 12 Senator di Dewan Negara pada Isnin.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, ia akan melibatkan pemegang Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) dan Lesen Kenderaan Barangan (GDL) bekerja sendiri yang terdiri daripada pemandu teksi, e-hailing, p-hailing, pemandu bas dan pemandu kenderaan barangan.

"Untuk langkah-langkah melakukan caruman itu, golongan berkenaan boleh melakukannya melalui laman sesawang atau berhubung terus dengan Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial),” katanya dalam ucapan penggulungan kementerian itu di persidangan Dewan Negara di sini pada Isnin.

Hasbi berkata, Rang Undang-undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2023 bertujuan meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang melibatkan 13 Fasal.

Beliau berkata, pindaan turut melibatkan Fasal Enam, Seksyen 56 yang menetapkan pemberian lesen vokasional hanya akan diberikan kepada individu yang memiliki lesen memandu kompeten sepenuhnya selain pada Fasal Tujuh, Seksyen 57 iaitu mewajibkan semua pemandu bas persiaran untuk memiliki lesen vokasional.

Dalam pada itu, Hasbi berkata, apabila pindaan rang undang-undang itu diwartakan kelak, penyediaan pakaian seragam pegawai JPJ yang baharu akan dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan tertentu bagi memastikan ia tidak mudah ditiru dan seterusnya disalahgunakan.

"Spesifikasi pakaian seragam pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kelak akan ditetapkan di bawah satu perundangan subsidiari, spesifikasi pakaian seragam pegawai JPJ juga akan dikawal selia melalui perundangan berkenaan.

"Insya-ALLAH dalam penyediaan pakaian baharu akan disediakan ciri-ciri keselamatan yang boleh membezakan antara pakaian seragam asli dan yang tiruan,” katanya.

Justeru beliau berkata mana-mana orang yang didapati meniru pakaian seragam JPJ adalah melakukan kesalahan dan boleh diambil tindakan. - Bernama