PRN: Pembahagian kerusi uji semangat Kerajaan Perpaduan

Ka Siong (tengah) pada sidang akhbar Majlis Berbuka Puasa Bersama Pengamal Media di sebuah hotel di Johor Bahru pada Ahad.
Ka Siong (tengah) pada sidang akhbar Majlis Berbuka Puasa Bersama Pengamal Media di sebuah hotel di Johor Bahru pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tiada parti yang boleh meletakkan sasaran jumlah kerusi yang bakal ditandingi bagi enam pilihan raya negeri (PRN) memandangkan gugusan parti di bawah Kerajaan Perpaduan agak besar.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, pembahagian kerusi kini bukan lagi dilakukan secara tradisi sebagaimana sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu.

"Dalam keadaan sekarang, tiada sesiapa boleh buat sasaran jumlah kerusi kerana ia dalam satu situasi lain daripada sebelumnya, bukan lagi melibatkan tradisi tetapi sebaliknya melibatkan satu gugusan parti yang lebih besar.

"Di bawah Kerajaan Perpaduan hari ini ada kira-kira 20 parti politik yang masing-masing mempunyai lambang mereka," katanya pada sidang akhbar ketika Majlis Berbuka Puasa Bersama Pengamal Media di sebuah hotel di sini pada Ahad.

Ahli Parlimen Ayer Hitam itu menambah, pembahagian kerusi di enam PRN kelak akan menjadi ujian semangat Kerajaan Perpaduan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

"Saya berpandangan semua perlu tunggu dan lihat senario baharu dalam politik tempatan pada masa sekarang. Apa pun semangat Kerajaan Perpaduan harus diterjemah dalam apa jua bentuk," katanya.

Sebelum itu Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, PH dan BN bersetuju semua kerusi penyandang kekal kepada parti yang menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dalam menghadapi PRN akan datang.

Dalam pada itu, Ka Siong berkata, MCA menghormati keputusan UMNO yang mahu memohon pengampunan diraja bagi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang kini menjalani hukuman penjara selama 12 tahun.

Katanya, perkara itu merupakan hal setiap individu sebagaimana yang tertakluk dalam perlembangaan negara.

“Setiap orang yang dipenjarakan ada hak untuk memohon pengampunan, ini bukanlah satu perkara luar biasa. Saya rasa tiada kelainan dan saya dapati UMNO sudah gerakkan resolusi untuk mohon pertimbangan bagi dapatkan pengampunan diraja.

“Ada juga ahli MCA yang bersetuju dan ada bertentangan. Walau apa sekalipun mereka sudah sampaikan pendirian masing-masing dan sebagai sebuah parti demokrasi, kita tidak sekat atau halang sebab ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja,” katanya.

Pada Jumaat, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memohon ihsan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, untuk mempertimbangkan pengampunan penuh kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.