Pengampunan Najib: UMNO akan menghadap Agong

Ahmad Zahid pada Majlis Santunan Kasih Ramadan di Pusat Transformasi Ilmu, Bukit Tiu.
Ahmad Zahid pada Majlis Santunan Kasih Ramadan di Pusat Transformasi Ilmu, Bukit Tiu.
A
A
A

MACHANG - UMNO mengesahkan parti itu sedang berusaha mencari tarikh bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mempersembahkan rayuan pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu optimis tarikh menghadap tersebut akan diperoleh dalam masa terdekat.

"Setakat ini... UMNO telah mengikuti semua prosedur perundangan yang sedia ada. Bila semua itu ikut prosedur maka akhirnya ialah Lembaga Pengampunan," katanya selepas diminta mengulas mengenai rayuan pengampunan terhadap Najib di sini pada Ahad.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri menghadiri Majlis Santunan Kasih Ramadan di Pusat Transformasi Ilmu, Bukit Tiu.

Hadir sama ialah Pengerusi Felcra, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob.

Menurut beliau, UMNO memang prihatin terhadap nasib bekas pemimpin tersebut.

"Apa UMNO lakukan ketika ini bukan desakan politik sebaliknya lebih kepada rayuan.

"Rayuan itu bukan sahaja dari Majlis Tertinggi namun melibatkan pemimpin akar umbi seluruh negara iaitu ketua-ketua bahagian, ketua pemuda, wanita dan puteri," katanya.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan, MKT UMNO telah membuat ketetapan untuk merayu pengampunan bagi bekas Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan sebulat suara itu dibuat pada mesyuarat bulanan MKT UMNO yang berlangsung pada Jumaat.