170 asnaf terima bantuan hari raya lebih RM70,000

Suliza (kiri) menyampaikan bayaran zakat kepada Mohd Syahril.
Suliza (kiri) menyampaikan bayaran zakat kepada Mohd Syahril.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Lembaga Zakat Selangor (LZS) semalam mengagihkan lebih RM70,000 dana Bantuan Hari Raya 2019 untuk 170 asnaf dan mualaf di daerah ini.

Agihan itu sempena Program Ziarah Korporat ke Asnaf (ZIKRA) LZS.

Program ZIKRA memberi peluang kepada pengeluar zakat merasai pengalaman turun padang dan melihat realiti kehidupan asnaf yang disantuni dengan wang zakat.

Kali ini, pengeluar zakat dibawa melihat kehidupan asnaf di Kuala Selangor yang melaksanakan projek ekonomi serta bantuan yang diagihkan LZS.

Bantuan Aidilfitri itu disampaikan oleh Orang Besar Daerah Kuala Selangor, Datuk Mohamad Yaacob Ismail di Masjid Jamek Sultan Ibrahim Kuala Selangor.

Mohammad Yaacob dalam ucapannya berkata, inisiatif bantuan yang disaksikan pengeluar zakat itu sendiri sangat relevan supaya agihan sampai kepada penerimanya.

"Penerima pula memanfaatkan sumbangan yang diterima kerana hasrat pengeluar zakat ini mahu membantu mengubah nasib asnaf.

"Saya sering ingatkan penerima zakat supaya sentiasa berusaha mengubah hidup dan menjadi kelompok pembayar zakat pada masa akan datang.

Artikel Berkaitan:

"Kita perlu berusaha bersama LZS kerana agensi itu menyediakan banyak program dan saluran bantuan untuk mengubah nasib keluarga asnaf melalui perniagaan dan sebagainya," katanya.

Hadir sama, Ketua Jabatan Operasi Agihan Daerah Kuala Selangor, Huzairi Ibrahim dan Ketua Jabatan Pengurusan Muzakki LZS, Mohd Syahril Zainol.

Sementara itu, penerima orang kurang upaya (OKU) Zaiful Nizam Zainudin, 39, terharu menerima sumbangan Aidilfitri buat pertama kalinya.

Zairul Nizam yang kudung kedua kaki sejak lima tahun lalu bersyukur kerana bantuan itu akan dibelanjakan untuk membeli barangan dapur menjelang Ramadan.

Bantuan itu juga katanya dapat digunakan untuk menampung perbelanjaan tiga anak termasuk dua anak angkatnya.

"LZS banyak tolong kami sekeluarga bagi bantuan makan dan sekolah anak sebab saya tak boleh bekerja dengan keadaan macam ni," katanya sebak.

Seorang warga emas, Siti Hatijah Ali, 79, tidak dapat menahan linangan air mata sebaik sahaja menerima sumbangan bantuan Aidilfitri buat kali keempat tahun ini.

Menurutnya, wang berkenaan akan digunakan untuk membeli makanan kegemarannya kerana keperluannya sudah diuruskan anak-anak.

Suliza Sulaiman, 44, pula bersyukur kerana berjaya keluar dari kemiskinan dan kini mampu dapat membayar zakat sendiri.

"Saya memang nekad untuk mengubah nasib daripada menjual nasi lemak kepada terapi Mybidan selepas menyertai program LZS tahun lalu.

"Suka saya kongsi kepada asnaf lain supaya jangan jadikan anak sebagai halangan untuk berjaya.

Anak-anaklah menjadi sebab saya nekad untuk berubah," katanya.

Lawatan ZIKRA turut menyantuni sembilan pesakit buah pinggang yang menjalani rawatan dialisis di Pusat Dialisis MAIS Kuala Selangor sebelum bergerak ke Agrobazar Bukit Belimbing.

Rombongan satu bas itu turut menyantuni asnaf, Anuar Samat yang menjalankan urutan di Pekan Lama Kuala Selangor hasil bimbingan dan bantuan pra modal LZS.