Kekejaman Israel: Kerajaan tak boleh diam diri - Muhyiddin

Muhyiddin
Muhyiddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan Malaysia tidak boleh berdiam diri dan perlu terus menekan institusi antarabangsa termasuk campur tangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi menghentikan kekejaman Israel serta membebaskan semua tahanan Palestin susulan pencerobohan terbaharu ke atas Masjid Al-Aqsa.

Dalam masa sama, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebagai anggota Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNHRC) bagi sesi 2022-2024, negara perlu lebih lantang mendesak untuk menghentikan pencerobohan dan membantu rakyat Palestin daripada terus dizalimi dan dinafikan hak mereka.

"Perbuatan biadab rejim zionis tersebut juga telah dilakukan hanya sehari selepas UNHRC meluluskan usul A/HRC/52/L.32 yang ditaja Malaysia mengenai hak rakyat Palestin dan penempatan haram Israel di tanah air Palestin.

"Justeru, kerajaan Malaysia tidak boleh berdiam diri dan perlu terus melakukan segala yang upaya untuk menekan institusi antarabangsa, sama ada melalui saluran PBB ataupun Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk campur tangan bagi menghentikan kekejaman dan jenayah Israel serta membebaskan semua tahanan Palestin," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Justeru, PN mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kejam dan keji tentera zionis Israel yang telah beberapa kali menceroboh pekarangan Haram Al-Sharif dan melakukan serangan tidak berperikemanusiaan terhadap jemaah awam Palestin di Masjid Al-Aqsa semenjak beberapa hari lalu.

"Tindakan tentera zionis Israel tersebut yang terus dilakukan di saat ini merupakan perbuatan keji dan tidak boleh diterima, lebih-lebih lagi kerana dilakukan pada bulan Ramadan yang mulia ini.

"Serangan keterlaluan dan provokatif itu turut memberi kesan serius terhadap keselamatan dan kestabilan di rantau Timur tengah dan menjejaskan sebarang usaha memulihkan proses damai," katanya.

Ujarnya, laporan media menyatakan bahawa keganasan yang sama berlaku pada bulan Ramadan sejak dua tahun lalu dan peningkatan keganasan terhadap rakyat Palestin ini jelas melanggar undang-undang antarabangsa.

"Ketegangan di antara Israel dan Palestin telah mencapai titik didih sejak beberapa hari kebelakangan ini.

"Adalah wajar bahawa PBB semasa mengecam serangan itu meningkatkan usaha untuk mempertanggungjawabkan Israel atas kelakuannya yang tidak boleh diterima," tambahnya. - Awani