ASEAN harus terus kekal sebagai zon neutral - PM

Anwar ketika lawatan ke Beijing pada 31 Mac lalu. Foto Bernama
Anwar ketika lawatan ke Beijing pada 31 Mac lalu. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - ASEAN harus kekal sebagai zon aman, bebas dan berkecuali di tengah-tengah persaingan antara Amerika Syarikat dan China yang semakin meningkat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata demikian dalam temu bual dengan penyiar kebangsaan China CCTV yang disiarkan pada malam hari Jumaat.

Temu bual itu dirakam semasa lawatan rasmi tiga harinya ke Beijing minggu lepas.

Anwar menyatakan bahawa ASEAN ditubuh untuk menggalakkan keamanan dan kestabilan di rantau ini, termasuk menjalin kerjasama di kalangan negara anggotanya, dan objektif ini harus dikekalkan.

Malaysia merupakan antara lima pengasas ASEAN semasa pertubuhan itu dibentuk pada 1967.

"Pendirian ini berterusan. Kami tidak mahu rantau ini menjadi pangkalan persaingan ketenteraan.

"Pendirian itu agak konsisten walaupun kami kekal mesra dengan semua negara,” katanya dalam temu bual itu.

Beliau berkata, wilayah itu tidak sepatutnya menjadi medan persaingan kuasa dan tidak boleh dibiarkan dengan provokasi yang tidak perlu muncul daripada persaingan itu.

Memetik mengenai AUKUS, Anwar berkata, Malaysia telah menimbulkan kebimbangan mengenai pakatan keselamatan itu melibatkan Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat di Indo Pasifik yang dilihat akan memburukkan lagi keadaan di rantau itu.

"Itulah sebabnya Malaysia mengambil tindakan yang lebih tegas dan konsisten sejak dari mula lagi, untuk tidak membenarkan keadaan itu meningkatkan lagi ketegangan tentera, atau dianggap atau dilihat sebagai provokatif,” katanya.

Beliau juga menggesa China dan AS mencari penyelesaian terbaik dalam menangani ketegangan antara kedua-dua pihak.

Di sisi domestik, Anwar berkata, Malaysia kini kembali ke landasan berikutan tadbir urus yang baik menjadi teras pentadbirannya dalam memacu pertumbuhan dan pembangunan negara.

Beliau berkata, kerajaan juga memberi tumpuan untuk membanteras rasuah dan membersihkan imej negara.

"Kita perlu bertindak tegas terhadap (rasuah) ini, kerana itu akan menggalakkan kemasukan pelabur.

"Malaysia pernah menunjukkan prestasi yang lebih baik pada 1990-an daripada segi pertumbuhan, tetapi ia telah merosot selama beberapa dekad selepas krisis 1997 (kewangan). Kini kita kembali ke landasan,” katanya. - Bernama