Tular kekasih buat aksi jelik: BSMM kecam salah guna lambang

Siaran media BSMM
Siaran media BSMM
A
A
A

SHAH ALAM - Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) mengecam penyalahgunaan lambang Bulan Sabit Merah oleh orang ramai dan pempengaruh media sosial yang menumpang trend berhubung insiden tular pasangan kekasih melakukan perbuatan tidak senonoh dalam kenderaan pada Khamis.

BSMM dalam kenyataan pada Jumaat berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk meneruskan tindakan undang-undang terhadap individu atau kumpulan yang melanggar akta ditetapkan demi menjaga rasa hormat terhadap lambang berkenaan.

"Kami menghargai perhatian yang telah dibawa kepada perkara ini dan ingin memberi jaminan kepada orang ramai bahawa kami memandang serius perkara berkenaan," ujarnya.

Pada Khamis, pasangan kekasih yang tular di media sosial kerana melakukan perbuatan jelik dalam kenderaan ditahan polis di dua lokasi berbeza.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak berkata, rakaman kejadian tersebut berlaku pada jam 3.03 petang, 29 Mac lalu dan tular di TikTok baru-baru ini.

Sebelum ini, tular satu rakaman berdurasi 23 saat yang merakamkan perbualan jelik kedua-dua individu berkenaan di dalam sebuah kenderaan di kawasan letak kenderaan di Taman Kota Masai, Pasir Gudang, Johor.

Sementara itu, BSMM berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan menyeluruh berhubung insiden berkenaan selain memandang serius semua dakwaan salah laku tersebut.

Menurut BSMM, pihaknya juga memastikan semua ahli termasuk wakil dan pekerja daripada organisasi itu mematuhi tatakelakuan yang ketat.

Tambah kenyataan itu lagi, pihaknya sedia maklum bahawa laporan polis telah dibuat dan bersedia sepenuhnya untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa berhubung siasatan tersebut.

"Bagaimanapun, kami ingin memaklumkan dan mengingatkan orang ramai bahawa lambang Bulan Sabit Merah adalah simbol perlindungan dan menyampaikan bantuan secara dekat.

"Ia juga menandakan harapan dan mesti dihormati. Lambang Bulan Sabit Merah dan perkataan Bulan Sabit Merah dilindungi secara khusus dalam Akta Persatuan Palang Merah Malaysia (Pertukaran Nama) 1975," ujarnya.

Justeru, pihaknya menjelaskan penggunaan tanpa kebenaran lambang oleh mana-mana orang selain daripada BSMM adalah dilarang.