Suri rumah terlantar menderita sakit saraf rayu bantuan

Rohayu kini hanya terbaring di tempat tidur menerima kunjungan Aznan (empat dari kanan) bersama pihak Enproserve dalam Program Ziarah Kasih di Kampung Bukit Raja, Kota Tinggi, pada Jumaat
Rohayu kini hanya terbaring di tempat tidur menerima kunjungan Aznan (empat dari kanan) bersama pihak Enproserve dalam Program Ziarah Kasih di Kampung Bukit Raja, Kota Tinggi, pada Jumaat
A
A
A
KOTA TINGGI - Seorang suri rumah di Kampung Bukit Raja di sini hanya mampu terlantar kerana menderita sakit saraf sejak tiga tahun lalu.

Rohayu Mohd Taib, 47, mengharapkan masih ada sinar untuknya sembuh dan meneruskan hidup seperti sediakala iaitu melalui pembedahan.

“Ketika dirawat doktor mencadangkan saya agar dibedah untuk masukkan skru di bahagian pinggang namun kosnya amat tinggi sehingga RM20,000 dan doktor juga maklumkan risiko untuk baik hanya 50 peratus.

“Saya tidak lakukan pembedahan kerana tiada wang sebanyak itu dan pulang ke rumah meneruskan rawatan fisio serta secara tradisional.

"Doktor juga menyarankan saya memohon kad orang kurang upaya (OKU) untuk cacat kekal dan sehingga kini saya terbaring sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita pada Jumaat.

Terdahulu Rohayu yang merupakan seorang daripada 50 penerima sumbangan duit raya daripada kontraktor Enproserve (M) Sdn Bhd, menerima bantuan tersebut menerusi Program Ziarah Kasih di rumahnya.

Ziarah berkenaan turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat, Aznan Tamin dan juga Pengarah Urusan Enproserve (M) Sdn Bhd, Azman Yusof.

Menceritakan keadaannya sebelum terlantar, Rohayu berkata, sebelum ini dia kerap terjatuh tetapi tidak mengesyaki apa-apa akan berlaku selepas itu kerana tiada kesan serius.

Detik hitam ujarnya, bermula selepas terjatuh di ruang tamu di rumah sebelum ditahan di wad selama 12 hari di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru, tidak lama kemudian tidak boleh berjalan dan doktor mengesahkannya mengalami masalah saraf.



Dia yang kini merupakan pemegang kad OKU reda dengan apa yang menimpa dirinya walaupun sudah tiga tahun hanya terbaring.

Katanya, suami, Aidi Ali, 51 mengupah orang untuk menguruskan dirinya sepanjang suaminya yang merupakan seorang pemandu keluar bekerja.

Dalam pada itu, Rohayu mengakui amat terharu dengan sumbangan tersebut yang membantunya untuk perbelanjaan harian.

“Hanya suami seorang yang bekerja dan perlu bayar hampir RM1,000 sebulan kepada orang yang menguruskan saya. Mujur saya dapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM500 namun itulah yang digunakan untuk beli lampin dan keperluan saya yang memakan kos RM400 lebih sebulan.

“Saya memang mengharapkan sangat sumbangan dari mana-mana pihak, terima kasih atas sumbangan diberikan ini,” katanya lagi.