Sistem VEP dilaksana mengikut fasa mulai 1 Oktober

- Foto Astro Awani
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pengangkutan hari ini mengumumkan penguatkuasaan sistem tag Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) kepada semua kenderaan berdaftar di negara asing yang memasuki Malaysia mulai 1 Oktober ini.

Kementerian tersebut, dalam kenyataan, bagaimanapun, berkata pelaksanaan sistem VEP itu dijalankan mengikut tiga fasa.

Bagi fasa pertama, ia akan dimulakan dengan kenderaan pendaftaran asing yang memasuki Malaysia menerusi Bangunan Sultan Iskandar dari Woodlands dan Bangunan Sultan Abu Bakar, Tuas, kedua-duanya dari pintu masuk sempadan Malaysia-Singapura.

Fasa kedua pula melibatkan semua pintu masuk sempadan antara Malaysia dan Thailand. Seterusnya fasa ketiga yang melibatkan pintu masuk sempadan antara Malaysia-Brunei-Indonesia.

Walau bagaimanapun, kementerian itu berkata tarikh jangkaan pelaksanaan untuk fasa kedua dan ketiga hanya akan diumumkan kelak.

Kenyataan itu menyebut mana-mana kenderaan asing yang ingin memasuki negara perlu memohon dan mendaftar VEP secara dalam talian menerusi https://vep.jpj.gov.my.

Selepas pendaftaran, pemilik kenderaan akan menerima notifikasi menerusi e-mel untuk janji temu bagi pemasangan tag VEP-RFID.

Hanya kenderaan yang berdaftar sahaja yang akan dibenarkan memasuki Malaysia apabila sistem ini dikuatkuasakan.

VEP akan dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di bawah Seksyen 66H Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan ia sah untuk tempoh lima tahun.

Menurut kenyataan itu, bagi fasa pertama, tag VEP-RFID boleh dipasang di empat lokasi di Johor Bahru iaitu di kawasan Rehat & Rawat ( R&R) Gelang Patah arah selatan, kawasan parkir terbuka Plaza Angsana, R&R Pandan dan Plaza Tol Lima Kedai.

Sebelum memasangnya, pemilik kenderaan dikehendaki membawa segala dokumen yang diperlukan (seperti mana yang akan dinyatakan menerusi notifikasi e-mel yang dihantar kepada pemohon selepas pendaftaran).

Pemilik kenderaan asing boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan menghubungi talian +607-5950669, or e-mel di alamat [email protected] - Bernama