AUKU masih perlu tapi boleh dipinda - PM

Anwar Ibrahim - Foto Bernama
Anwar Ibrahim - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan melihat Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) 1971 masih diperlukan kerana relevan dengan keperluan semasa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun berkata, ia masih boleh dipinda agar beberapa peruntukan yang ada lebih jelas.

“Tentang pelbagai akta yang mungkin bertindan, itu Menteri Pendidikan Tinggi (Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin) atau KSU (Ketua Setiausaha KPT) boleh teliti. Tapi, dalam pendidikan tinggi, seharusnya ada beberapa akta.

“Pengawalan IPTA (institusi pengajian tinggi awam) dan IPTS (institusi pengajian tinggi swasta) mungkin berbeza. Sama ada gabung atau tidak (akta), saya tiada pandangan keras tapi terserah.

“Tapi yang dibangkitkan tentang AUKU itu, bagi saya penting. AUKU ini peruntukan tentang kebebasan di universiti atau kebebasan akademik bagi pensyarah dalam menulis dan memberi pandangan serta mengkritik, ada beberapa peruntukan lain yang penting.

“Sesetengah orang kata batalkan, tapi saya tidak fikirkan ia sesuai, di mana kita boleh pinda beberapa peruntukan agar lebih diperjelas,” katanya pada Sesi Dialog Bersama Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi Se-Malaysia di sini, pada Jumaat.

Turut hadir, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mohamed Khaled Nordin; Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Profesor Emeritus Datuk Dr Raduan Che Rose dan Naib Canselor UiTM, Professor Datuk Dr Hajah Roziah Mohd Janor.

Sementara itu, Anwar menjelaskan, beliau bersikap terbuka apabila ditanya tentang kekesalan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkaitan Program Jelajah Mansuh AUKU dan Dialog Intern Bukan Buruh Percuma yang sepatutnya berlangsung pada 30 Mac lalu tidak mendapat kelulusan universiti.

“Jika ditanya peristiwa baru-baru ini, kalau tanya saya, saya bersikap terbuka. Kalau nak datang, datanglah tapi ada peraturan yang harus diikuti. Kena maklum kepada universiti dahulu, itu sahaja.

“Bila kita beri kelonggaran, kalau nak masuk, kena maklum. Kita ada peraturan dan bahagian HEP (Hal Ehwal Pelajar) harus kawal namun janganlah terlalu mengongkong. Melainkan, ada sikap nak membawa permusuhan kaum dan agama, kita tegas.

"Saya tak peduli, saya tetap nak jaga keselamatan negara agar terkawal. Tiada tolak ansur dalam bab itu,” katanya.