Lelaki Pakistan tunjuk aksi 'wheelie' ditahan polis

Tangkap layar video yang memaparkan lelaki Pakistan melakukan aksi 'wheelie' di Jalan Kota Tinggi- Kluang.
Tangkap layar video yang memaparkan lelaki Pakistan melakukan aksi 'wheelie' di Jalan Kota Tinggi- Kluang.
A
A
A

KLUANG - Seorang lelaki Pakistan ditahan polis kerana melakukan aksi 'wheelie' ketika menunggang motosikal di Kilometer (KM) 85.5 Jalan Kota Tinggi- Kluang pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrain Mohd Noh berkata, video memaparkan lelaki berusia 22 tahun menunggang motosikal dalam keadaan berbahaya itu dikesan polis setelah tular di media sosial.

"Satu kiriman video dari Facebook 'Kluang paranormal research' dikesan memaparkan seorang lelaki Pakistan menunggang sebuah motosikal jenis SYM VF3i melakukan aksi 'wheelie' dengan mengangkat tayar hadapan motosikal.

"Anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Kluang telah melakukan risikan dan berjaya menahan suspek di hadapan sebuah kedai di Taman Majupadu di sini, pada jam 6.45 petang, Rabu," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Menurut Bahrain, motosikal yang digunakan suspek telah dirampas dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, iaitu memandu secara melulu dan membahayakan.

Katanya, suspek yang bekerja sebagai pemotong rumput itu telah disaman kerana tiada lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans.

"Ujian saringan awal air kencing suspek didapati negatif. Suspek kini direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) selama empat hari bermula Khamis," katanya.