Sorok 32,000 liter diesel dalam tangki bawah tanah

Kamalludin (kanan) menunjukkan satu daripada dua tangki buatan bawah tanah yang ditemui ketika serbuan sebuah premis di Kampung Kepayang, Simpang Pulai pada Selasa.
Kamalludin (kanan) menunjukkan satu daripada dua tangki buatan bawah tanah yang ditemui ketika serbuan sebuah premis di Kampung Kepayang, Simpang Pulai pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Penemuan dua tangki bawah tanah membongkar kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi di sebuah premis berhampiran kolam ikan di Kampung Kepayang, Simpang Pulai pada Selasa.

Serbuan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menerusi Op Tiris sekitar jam 11 malam itu menemui 32,000 liter cecair disyaki minyak diesel bersubsidi bernilai RM76,160 tersimpan dalam tangki tersebut.

Pengarah KPDN negeri, Datuk Kamalludin Ismail berkata, turut ditemui lima unit pam penyedut minyak serta dua lori yang digunakan bagi tujuan membeli dan pengedaran minyak.

"Mereka cuba kaburi mata penguat kuasa dengan meletakkan pelbagai barang menutupi tangki buatan tersebut, begitupun kita berjaya menjumpainya.

"Modus operandi sindiket ini adalah dengan membeli minyak diesel di stesen minyak secara berulang kali di sekitar Simpang Pulai menggunakan lori yang diubah suai.

Lima unit pam penyedut minyak turut ditemui di premis berkenaan ketika serbuan dilakukan.
Lima unit pam penyedut minyak turut ditemui di premis berkenaan ketika serbuan dilakukan.

"Bekalan minyak itu kemudiannya dikumpulkan dalam tangki bawah tanah sebelum disalurkan dalam lori tangki untuk dijual kepada pihak industri," katanya dalam sidang akhbar di lokasi serbuan di sini pada Rabu.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, dua lelaki warga tempatan berusia 47 dan 49 tahun dipercayai pemilik premis dan pemandu telah ditahan untuk siasatan lanjut.

Katanya, siasatan awal mendapati sindiket yang beroperasi sejak tiga bulan lalu itu menjual bekalan bahan api kepada syarikat-syarikat industri di Pulau Pinang dan mampu meraih keuntungan sehingga RM45,000 sebulan.

"Siasatan juga mendapati premis ini tidak mempunyai apa-apa lesen atau permit menyimpan barang kawalan daripada KPDN. Tindakan sita telah diambil ke atas semua barangan rampasan bernilai RM321,170.

"Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974," katanya.