Lantikan politik perlu garis panduan jelas

Gambar hiasan - Foto 123RF, gambar kecil: Sri Murniati
Gambar hiasan - Foto 123RF, gambar kecil: Sri Murniati
A
A
A

SHAH ALAM - Sebarang lantikan politik sama ada dalam badan berkanun atau agensi kerajaan perlu ada garis panduan jelas bagi memantau sebarang aktiviti penyalahgunaan kuasa berlaku.

Timbalan Pengarah Penyelidikan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Sri Murniati Yusuf berkata, negara pada ketika ini memerlukan satu mekanisme sistem yang dapat memastikan mana-mana orang politik yang dilantik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) adalah mengikut merit yang ditetapkan.

“Masalah pelantikan politik bukan sahaja pada ahli politik semata-mata tetapi bagaimana kita hendak memastikan orang-orang politik ini dilantik mengikut merit, bertanggungjawab ke atas prestasi badan berkanun dan GLC serta mengurangi masalah campur tangan politik.

“Di United Kingdom (UK), ada badan-badan tersendiri yang melihat adakah orang-orang yang dilantik ini mematuhi ‘code of conduct’ (tatalaku) pelantikan. Kita tidak ada badan itu.

“Saya kira masalah sekarang, kita tidak ada sistem yang memastikan ahli politik itu dilantik sesuai dengan kod tadbir urus korporat,” katanya.

Beliau berkata demikian selaku panelis pada Wacana Sinar siri 391 bertajuk ‘Risiko Lantik Orang Politik Terajui GLC’ yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada Selasa.

Turut menjadi panel ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Mohd Shaid Rosli; Ketua UMNO Bahagian Bangi, Datuk Dr Mohd Zaidi Md Zain manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Selain itu, Sri Murniati turut mencadangkan supaya parti politik meletakkan satu sistem proses pelantikan ahli politik yang lebih baik pada masa akan datang.

“Yang penting adalah meletakkan sistem proses pelantikan yang lebih baik daripada sekarang sebab kita tidak ada (sistem itu),” ujarnya.