[VIDEO] Peruntukan pembangkang: Perlu ada rundingan parameter

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan ketika Sesi Soal Jawab Perdana Menteri pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan ketika Sesi Soal Jawab Perdana Menteri pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [KEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi kesediaannya memberi peruntukan yang sama kepada ahli Parlimen pembangkang seperti diterima wakil rakyat blok kerajaan.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Tambun itu berkata, ia perlu dimulakan dengan proses rundingan membabitkan kedua-dua pihak bagi menentukan parameter yang diluluskan.

Beliau berkata, ahli Parlimen pembangkang perlu bersedia untuk berdepan sebarang kebarangkalian sekiranya enggan membuat rundingan.

"Saya telah sebut di sini (Dewan Rakyat), kelulusan telah diputuskan, cuma Timbalan Perdana Menteri, Petra Jaya (Datuk Seri Fadillah Yusof) mengetuai pasukan (rundingan) dan minta supaya pembangkang mengadakan rundingan tentang parameter yang diluluskan.

“(Oleh itu) apa masalahnya, kalau mereka (pembangkang) tidak bersedia (untuk berunding) mereka kena tanggung. Saya sudah beritahu kepada Kubang Kerian (Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man) pun begitu.

"Sudah ada kelulusan dan biar ada rundingan kerana ini juga perkara yang dilakukan dulu oleh Kota Bharu (Datuk Seri Takiyuddin Hassan). Sebelum itu tiada kelulusan untuk berbincang (ketika era Kerajaan Perikatan Nasional)," katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) yang membangkitkan mengenai peruntukan kepada pembangkang, mengikut Peraturan 36(12) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Media sebelum ini melaporkan, Anwar menegaskan beliau tidak pernah menolak prinsip untuk memberi peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang namun ia perlu dimulakan dengan proses rundingan.

Tindakan itu selari dengan amalan ketika kerajaan diterajui bekas Perana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.