SPA antara 51 agensi diberi akses myIDENTITY - JPN

SPA antara 51 agensi kerajaan yang diberikan akses sistem myIDENTITY bagi mengenal pasti maklumat individu yang memohon jawatan dalam perkhidmatan awam. - Gambar hiasan
SPA antara 51 agensi kerajaan yang diberikan akses sistem myIDENTITY bagi mengenal pasti maklumat individu yang memohon jawatan dalam perkhidmatan awam. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menjelaskan bahawa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) antara 51 agensi kerajaan yang diberikan akses sistem myIDENTITY bagi mengenal pasti maklumat individu yang memohon jawatan dalam perkhidmatan awam.

JPA dalam kenyataan berkata, pengintegrasian sistem itu juga membolehkan SPA melaksanakan semakan pengesahan taraf kewarganegaraan pemohon dan ia merupakan keperluan wajib kerana jawatan dalam sektor awam adalah dikhaskan untuk rakyat Malaysia sahaja.

“Sebagai makluman, JPN telah menyediakan kemudahan sistem myIDENTITY kepada agensi-agensi kerajaan bagi tujuan perkongsian data asas individu.

“Kemudahan yang dibangunkan oleh JPN ini membolehkan agensi yang mendapat akses kepada sistem ini membuat semakan silang antara data pelanggan agensi dengan data JPN untuk mengesahkan kesahihan maklumat peribadi pelanggan berkenaan.

“Sehingga kini sebanyak 51 agensi diberikan akses kepada sistem ini,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Pada Isnin, media melapokan SPA berjaya mengesan dan menyekat cubaan lebih 46,000 individu termasuk warga asing dan mereka yang menggunakan identiti palsu untuk memohon kerja dalam sektor awam sejak 2020 hingga 15 Mac lalu.

Dalam pada itu, menurut kenyataan JPN, pihaknya sentiasa berhubung dan berkerjasama dengan SPA sekiranya didapati pemohon mengemukakan maklumat tidak tepat dan melakukan kesalahan-kesalahan berkaitan dokumen pengenalan diri di bawah akta atau peraturan-peraturan yang dikuatkuasakan oleh jabatan tersebut.

Ujarnya, bagi agensi yang tidak mempunyai akses sistem berkenaan, semakan data boleh dilaksanakan dengan memohon kepada pihak JPN mengikut keperluan.

“JPN sentiasa membantu dan bekerjasama dengan pihak agensi dalam melaksanakan pengesahan kesahihan maklumat peribadi agar cubaan salah guna dokumen pengenalan diri yang dikeluarkan oleh JPN dalam perkhidmatan agensi dapat dibanteras,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!