Hasrat 15 sekeluarga tunai umrah tak kesampaian

Ahmad Kashfi (dua dari kanan) bersama sebahagian ahli keluarga selesai membuat laporan polis di IPD Kuala Terengganu pada Isnin.
Ahmad Kashfi (dua dari kanan) bersama sebahagian ahli keluarga selesai membuat laporan polis di IPD Kuala Terengganu pada Isnin.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Hasrat 15 sekeluarga mahu menunaikan umrah tidak kesampaian kerana terpaksa menanggung kerugian RM118,800 dipercayai ditipu pakej umrah yang tidak wujud.

Wakil keluarga berkenaan, Ahmad Kashfi Ab Rahman, 56, berkata, mereka sepatutnya menunaikan umrah pada 28 Februari lalu melalui sebuah syarikat yang beroperasi di Alor Setar, Kedah.

Namun katanya, mereka diberitahu penerbangan untuk umrah selama 12 hari 11 malam itu ditunda kepada 3 Mac sebelum dimaklumkan penerbangan pada tarikh itu turut dibatalkan.

"Pada 22 Februari lalu saya ada hubungi pengurus pakej umrah tersebut dan dia mengatakan dia mengalami masalah untuk meneruskan proses umrah tersebut kerana akaun bank syarikat telah dibekukan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) atas isu penipuan harga tambang kapal terbang, namun dia berjanji akan menyelesaikan masalah itu.

"Pada 23 dan 24 Februari lalu saya menelefon kembali, namun panggilan tidak dijawab.

"Pada 25 Februari lalu abang saya juga telah pergi ke pejabat syarikat berkenaan dan diberitahu tarikh penerbangan ditunda kepada 3 Mac lalu," katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu di sini pada Isnin.

Ahmad Kashfi yang pertama kali berurusan dengan syarikat tersebut berkata, kos dikenakan kepada setiap ahli keluarga yang berusia 10 hingga 70 tahun itu sebanyak RM7,920.

Ujarnya, dia bersama 15 ahli keluarga termasuk ibu dan abang yang agak uzur kesal dengan tindakan 'agensi' berkenaan.

"Selama ni saya banyak dengar berita mengenai jemaah tertipu dan kali ini saya menerima nasib serupa.

"Saya harap apa yang berlaku dapat buka mata masyarakat supaya lebih berhati-hati dalam memilih pakej umrah. Saya juga harap supaya pihak berkuasa lebih tegas dan kes penipuan ini," ujarnya.

Sementara itu Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, setakat ini pihaknya telah menerima empat laporan berhubung penipuan umrah pada tahun ini yang melibatkan kerugian RM214,000.

Jelasnya, kes itu akan disiasat dibawah Seksyen 420 kanun keseksaan kerana penipuan.

"Semalam empat laporan telah dibuat terhadap sebuah agensi yang menawarkan pakej umrah.

"Kita jangka ada lagi laporan yang akan dibuat berhubung kes penipuan ini dimana tahun ini jumlah kerugian agak besar berbanding kerugian yang dilaporkan berlaku sepanjang tahun lalu sebanyak RM120,000," kata beliau.

Dalam pada itu, Rohaimi turut menasihatkan orang ramai yang ingin menunaikan ibadah ini supaya lebih berhati-hati terhadap syarikat yang menawarkan pakej berkenaan.

"Ia sebenarnya bukan hanya melibatkan kerugian wang ringgit malah emosi mereka juga terganggu kerana ia melibatkan soal ibadah," ujar beliau.