Mogok: Fasiliti kesihatan beroperasi seperti biasa

Pengarah HSNZ, Dr Norazman Alias (kanan) bersama sekumpulan pengawal keselamatan di hospital berkenaan pada Isnin.
Pengarah HSNZ, Dr Norazman Alias (kanan) bersama sekumpulan pengawal keselamatan di hospital berkenaan pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) memaklumkan bahawa fasiliti penjagaan kesihatan awam di seluruh negara masih beroperasi seperti biasa susulan mogok doktor kontrak yang diadakan pada hari ini hingga Rabu.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Muruga Raj Rajathurai berkata, bagaimanapun Kementerian Kesihatan perlu memainkan peranan menyampaikan mesej kepada masyarakat bagi meredakan kebimbangan mereka berhubung isu tersebut.

“MMA telah menerima panggilan daripada orang ramai yang bertanyakan sama ada kemudahan penjagaan kesihatan awam beroperasi seperti biasa hari ini dan kami telah memberi jaminan kepada mereka bahawa ia sememangnya beroperasi.

Dr Muruga Raj Rajathurai
Dr Muruga Raj Rajathurai

“Setakat ini, semakan yang dibuat oleh MMA hari ini mendedahkan bahawa tiada mogok berlaku di mana-mana kemudahan penjagaan kesihatan awam di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Pada Ahad, KKM mengingatkan semula mengenai peraturan melarang penjawat awam daripada menyertai perhimpunan haram susulan wujud perancangan daripada doktor kontrak untuk melakukan mogok selama tiga hari bermula Isnin.

Mogok doktor kontrak Malaysia yang bertemakan 'Mogok Black Monday' tetap diteruskan pada Isnin hingga Rabu, walaupun dilarang oleh KKM.

Susulan daripada mogok yang akan dilancarkan di seluruh negara pada hari ini, kumpulan doktor kontrak membuat enam tuntutan kepada kerajaan melalui KKM.

Sementara itu, di Terengganu, perkhidmatan kesihatan di enam buah hospital dan klinik kesihatan di negeri itu berjalan lancar walaupun dijangka berlaku tindakan mogok oleh kumpulan doktor kontrak di seluruh negara bermula Isnin.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, kebanyakan mereka hadir bekerja seperti biasa dan tiada doktor kontrak yang melakukan tindakan mogok seperti yang diuar-uarkan.

"Setakat ini pengurusan hospital-hospital di daerah memaklumkan semua perkhidmatan kesihatan berjalan dengan baik.

"Tiada berlaku sebarang kejadian tidak diingini. Saya berharap situasi ini akan berterusan untuk tempoh dua hari lagi," katanya ketika ditemui di sini pada Isnin.

Di Kedah, kesemua hospital dan klinik kesihatan di negeri itu beroperasi seperti biasa tanpa sebarang provokasi mahupun kekurangan doktor untuk merawat pesakit seperti dijadualkan.

Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Othman Warijo berkata, tiada laporan berlakunya mogok atau cuti berkelompok kalangan doktor atau petugas kesihatan dilaporkan berlaku di hospital atau klinik kesihatan.

Menurutnya, pihaknya juga tidak mendapat maklumat sebarang perhimpunan atau protes akan diadakan di premis kesihatan negeri ini.

“Tiada laporan perhimpunan atau cuti berkelompok berlaku di mana-mana hospital atau klinik kesihatan di negeri ini. Operasi hospital dan klinik berjalan seperti biasa,” katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Dr Othman memaklumkan, semua kakitangan hospital dan klinik kesihatan bertugas seperti biasa termasuk temu janji dan rawatan kepada pesakit berjalan lancar mengikut jadual.

Dalam pada itu, Dr Othman memaklumkan, Kedah tidak berhadapan dengan masalah kekurangan doktor buat masa ini.

“Jumlah doktor dalam perkhidmatan KKM di Kedah melebihi 3,200 dengan lebih 410 pakar perubatan,” ujarnya.

Di Pulau Pinang, tiada sebarang mogok di semua hospital dan klinik kesihatan di negeri itu membabitkan doktor kontrak seperti dilaporkan berlaku pada Isnin.

Perkara itu disahkan oleh Exco Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan Pulau Pinang, Dr Norlela Ariffin ketika dihubungi sebenar tadi.

"Semua pihak sedang memantau perkara ini dengan rapi," kataya.