Indeks Malaysia Negara Rahmah 2022 catat tahap sederhana

Fauwaz (tiga dari kiri), Badlishah Sham (tiga dari kanan) semasa pembentangan Laporan Kajian Indeks Malaysia Negara Rahmah 2022 di sebuah hotel pada Isnin. FOTO SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB
Fauwaz (tiga dari kiri), Badlishah Sham (tiga dari kanan) semasa pembentangan Laporan Kajian Indeks Malaysia Negara Rahmah 2022 di sebuah hotel pada Isnin. FOTO SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB
A
A
A

PETALING JAYA - Indeks Malaysia Negara Rahmah (IMNR) 2022 berada pada tahap sederhana dengan skor 6.47 yang boleh menjadi penanda aras kepada kerajaan untuk terus membangunkan negara selaras dengan Gagasan Malaysia Madani.

Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Badlishah Sham Baharin berkata, indeks itu menunjukkan peningkatan daripada tahun 2021 yang mencatatkan skor 6.09.

Katanya, Kajian Indeks Malaysia Negara Rahmah 2022 yang melibatkan 2,006 responden berkenaan dijalankan Ikram bagi meninjau persepsi masyarakat terhadap situasi kemajuan negara dalam pelbagai aspek.

"Dengan menggunakan skala 1 hingga 10, hasil kajian ini mendapati pencapaian kebangsaan bagi Ciri-ciri Negara Rahmah bagi tahun 2022 adalah pada paras 6.47 atau pencapaian dalam kategori 'sederhana.

"Ciri-ciri yang mendapat tiga skor tertinggi ialah Institusi Keluarga yang Utuh (7.66), Hubungan Etnik dan Penganut Agama yang Harmoni (7.40), Masyarakat yang Berilmu, Berakhlak Penyayang (7.32).

"Ini menunjukkan Malaysia berada di landasan yang betul dan boleh ditambah baik dalam merealisasikan Gagasan Malaysia Madani," katanya pada sidang akhbar Laporan Kajian IMNR 2022 di sini pada Isnin.

Badlishah
Badlishah

Pelancaran buku laporan kajian tersebut disempurnakan Pengarah Bahagian Kesejahteraan Keluarga Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Fauwaz Hasbullah dan turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Agenda Nasional IMNR, Profesor Dr Hanim Salleh

Badlishah menjelaskan, tiga ciri mendapat skor terendah iaitu Tadbir Urus yang Baik (5.68), Ekonomi yang Mampan (5.78) dan Kepimpinan yang Kompeten dan Berintegriti (5.80) mendapat skor yang terendah.

Menurutnya, kajian berkenaan dilakukan selama tiga bulan iaitu daripada bulan Julai hingga September 2022 iaitu ketika pentadbiran Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob iaiti sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan.

Bagaimanapun, tegas beliau, tiga ciri yang mendapat skor terendah menunjukkan usaha yang dijalankan oleh Kerajaan Perpaduan dalam memperkemas tata kelola urusan pentadbiran kerajaan sangat signifikan untuk difokuskan terutama dalam membanteras rasuah sehingga ke akar umbi.

"Walaupun skor indeks ini bukan satu petunjuk yang mutlak, ia telah memberikan satu nilai persepsi relatif masyarakat umum terhadap keadaan semasa negara.

"Ikram melihat IMNR ini dapat memberi salah satu gambaran ukuran terhadap usaha-usaha semua pihak dalam membangunkan negara," jelasnya.

Badlishah menambah, laporan kajian itu akan dibentangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat selepas turut membentangkan laporan itu kepada Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang sebelum ini.

Katanya, dapatan itu dikongsi dengan pihak kerajaan agar dapat bersama-sama merangka usaha membangunkan Gagasan Malaysia Madani dan seterusnya memasukkan ciri-ciri Rahmah dalam membangunkan ekonomi negara ini.