Kerajaan optimis industri perniagaan di landasan tepat - Anwar

Anwar - Foto Bernama
Anwar - Foto Bernama
A
A
A

BEIJING - Kerajaan Malaysia optimistik bahawa masa depan industri perniagaan Malaysia berada di landasan yang tepat untuk terus berkembang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keyakinan tersebut disandarkan hasil rundingan dengan Kerajaan China dan pelabur berprofil tinggi dalam lawatan rasmi beliau ke negara Tanah Besar itu.

Selain itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan memberi jaminan bahawa di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan, beliau akan memastikan urusan perniagaan dan pelaburan di negara ini dipermudahkan.

Jelas beliau, ia sekali gus membolehkan membina lebih banyak perkongsian dengan syarikat Malaysia, terutamanya dalam sektor strategik dalam memajukan hubungan yang lebih erat.

"Saya rasa masa depan industri perniagaan Malaysia adalah membanggakan dan saya sangat optimis dengan komitmen perniagaan di antara China dan Malaysia.

"Daripada pengalaman saya, ini tidak pernah berlaku sebelum ini, dan tidak pernah dalam beberapa tahun kebelakangan ini terdapat begitu ramai kapten industri terkemuka yang berkumpul bersama.

"Ini adalah permulaan baharu bagi Malaysia. Saya teruja,” katanya di sini.

Perdana Menteri berucap pada Forum Perniagaan Malaysia-China sempena lawatan rasmi ke China, yang memasuki hari keempat hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar juga menzahirkan hasrat untuk meneruskan iltizam menjadikan Malaysia sebagai 'Harimau Asia' hasil peluang perdagangan yang kukuh antara Malaysia dan China.

Dalam masa yang sama, Perdana Menteri berkata setakat ini, lawatan rasmi beliau ke China amat membuatkan hasil termasuk melibatkan pertemuan dengan Presiden China, Xi Jinping.

Sementara petang ini, Anwar dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier China, Li Qiang.

Terdahulu, Anwar dalam pengumumannya di hadapan ribuan pelabur dan komuniti perniagaan memaklumkan Malaysia memperoleh komitmen pelaburan dari China sebanyak RM170 bilion dan ia adalah tertinggi direkodkan dalam sejarah. - Awani