Pharmaniaga urus 35 peratus belanja farmaseutikal kerajaan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pharmaniaga Bhd menyangkal sekeras-kerasnya dakwaan pihak tertentu bahawa kerajaan terlalu bergantung kepadanya sebagai penyedia perkhidmatan logistik dan pengedaran farmaseutikal.

Ia berkata, di sebalik dakwaan itu, Kementerian Kesihatan (KKM) hanya membelanjakan kira-kira 35 peratus daripada perbelanjaan farmaseutikalnya melalui Pharmaniaga, dengan peranan syarikat terhad kepada menguruskan logistik dan pengedaran produk, serta menyimpan stok ubat bernilai sebanyak RM400 juta setakat 31 Disember, 2022.

"Pemilihan pembekal, produk dan harga semuanya ditentukan oleh KKM selepas ia memuktamadkan pelaksanaan tender terbuka," jelas Pharmaniaga dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut Pharmaniaga pada masa ini, pihaknya memberi perkhidmatan kepada hampir 2,000 kemudahan kesihatan kerajaan di seluruh negara termasuk penghantaran pintu ke pintu bagi kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.

Perkhidmatan ini dikawal menerusi piawaian perkhidmatan yang ketat dan petunjuk prestasi utama (KPI) dengan pengenaan penalti bagi sebarang ketidakpatuhan, tambahnya.

Menurutnya, walau bagaimanapun, pihaknya telah mencapai lebih 98 peratus skor KPI secara konsisten yang direalisasikan melalui komitmen jangka masa panjang terhadap pelaburan infrastruktur logistik dan rangkaian yang luas di seluruh negara.

Itu termasuk kemudahan yang disediakan oleh 14 gudang dan pusat pengedaran gred farmasi yang terletak di Lembah Klang, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak, serta menguruskan kumpulan pengangkutan lebih 300 kenderaan, jelasnya.

Syarikat juga membuat lebih 450,000 penghantaran melalui darat, udara, laut dan sungai setiap tahun dan kesemua penghantaran ini berjaya dilaksanakan mengikut KPI yang ditetapkan oleh KKM, disokong oleh hampir 500 pekerja logistik dan pengedaran yang kesemuanya ialah warga tempatan, tambahnya.

"Pharmaniaga kekal komited terhadap tanggungjawab dalam perniagaan dengan KKM dan sektor swasta walaupun menghadapi cabaran selepas mengumumkan status Nota Amalan 17 (PN17) baru-baru ini susulan pembekalan stok vaksin Covid-19.

"Sebagai syarikat berkaitan kerajaan yang bertanggungjawab, Pharmaniaga tidak pernah mungkir sebarang tanggungjawabnya kepada institusi kewangan," tambahnya.

Walau bagaimanapun, Pharmaniaga mengakui kelewatan pembayaran kepada pembekalnya yang tidak dijangkakan baru-baru ini, dan memastikan keadaan akan pulih tidak lama lagi.

Pharmaniaga menekankan bahawa kebanyakan tanggungjawab telah diselesaikan sejak itu, dan pihaknya akan terus mematuhi semua obligasi untuk memastikan akses pesakit kepada ubat-ubatan kekal tidak terganggu dan terus tidak terjejas. - Bernama