'Aplikasi KitaJaga miliki konsep sama dengan Price Catcher'

Tangkap layar hantaran seorang pengguna laman sosial, Twitter yang kecewa tentang pelaksanaan aplikasi KitaJaga. Maulizan (kanan).
Tangkap layar hantaran seorang pengguna laman sosial, Twitter yang kecewa tentang pelaksanaan aplikasi KitaJaga. Maulizan (kanan).
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Ekonomi sepatutnya menumpukan dan menggalakkan penggunaan aplikasi sedia ada, bukannya melancarkan satu lagi aplikasi yang mempunyai fungsi bertindih.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tiram, Johor, Datuk Maulizan Bujang berkata, aplikasi KitaJaga mempunyai fungsi sama dengan aplikasi Price Catcher yang dikendalikan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup sejak 2017.

“Aplikasi KitaJaga bukan sahaja memiliki konsep serupa tetapi cara ia berfungsi juga sama dan ia menggunakan data yang diperoleh oleh KPDN yang turun ke lapangan.

“Seramai 900 Pegawai Pemantau Harga dikerahkan untuk membuat pemantauan setiap hari di pasar raya seluruh negara dan sebaik sahaja maklumat diperoleh, petugas KPDN akan mengemas kini maklumat dalam aplikasi Price Catcher,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Ahli Parlimen Pandan itu, memperkenalkan aplikasi KitaJaga hasil kolaborasi di antara Kementerian Ekonomi dan organisasi swasta, bagi memudahkan penyemakan harga barang mengikut lokaliti tertentu.

Mengulas lanjut Maulizan berkata, Rafizi sepatutnya membantu mempromosikan Price Catcher kerana ia melibatkan perbelanjaan kerajaan.

Selain itu, kata Maulizan, 900 kakitangan yang bertugas di lapangan masih lagi berstatus kontrak dan peranan mereka amat penting dalam mendapatkan data masa nyata melalui pemantauan teliti di pasar raya dan kedai runcit seluruh negara.

Jelas beliau, kerajaan sepatutnya memperkasakan kesemua kakitangan berkenaan yang menjadi nadi utama penyemakan harga barang keperluan asas bagi memudahkan rakyat mendapatkan maklumat terkini.

Menurutnya, tidak salah bagi sebuah syarikat swasta untuk menggunakan data sama, namun pelancaran oleh seorang menteri memperlihatkan ia sebagai sesuatu yang janggal dan menidakkan fungsi utama kewujudan Price Catcher oleh kerajaan.

“Saya harap tiada peruntukan disalurkan bagi pembangunan aplikasi itu kepada syarikat swasta berkenaan dan menteri sepatutnya merujuk kepada rakan kabinet bagi memastikan inisiatif kerajaan dipromosikan,” ujarnya.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada Rabu memberitahu media, pelancaran aplikasi KitaJaga oleh Kementerian Ekonomi merupakan satu compliment ke arah memudahkan pelanggan menyemak lokasi atau kedai yang menawarkan harga berpatutan.