Cari individu tak puasa, jumpa peniaga jual arak tanpa lesen

Pegawai Penguat kuasa MPKB-BRI membawa tin arak yang disimpan di bahagian belakang premis.
Pegawai Penguat kuasa MPKB-BRI membawa tin arak yang disimpan di bahagian belakang premis.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang peniaga di Jalan Sultan Zainal Abidin di sini dikenakan kompaun sebanyak RM2,000 kerana memiliki lima kotak arak pelbagai jenama tidak berlesen pada Rabu.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) Rosnazli Mohd Amin berkata, rampasan dilakukan ketika Operasi Bersepadu Ramadan Bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) di sekitar Kota Bharu.

Menurut beliau, penguat kuasa operasi pada mulanya menyerbu premis berkenaan kerana terdapat aduan individu tidak berpuasa di premis berkenaan.

"Bagaimanapun, pemantauan di bahagian belakang premis menemui 120 tin arak dan siasatan lanjut mendapati peniaga itu menjual minuman keras tanpa lesen.

"Peniaga itu dikenakan tindakan Undang-Undang Kecil 15(2) Tred Perniagaan dan Perindustrian MPKB 1989," katanya selepas operasi itu.

Pegawai Penguat kuasa JAHEAIK memberi amaran kepada seorang lelaki yang merokok di luar sebuah rumah di Peringat.
Pegawai Penguat kuasa JAHEAIK memberi amaran kepada seorang lelaki yang merokok di luar sebuah rumah di Peringat.

Tambah beliau, operasi berkenaan bertujuan memantau premis yang disyaki tidak menepati waktu berniaga sepanjang Ramadan.

"Kita juga melakukan pemantauan premis yang disyaki ada pelanggaran syarat berniaga ketika bulan puasa," katanya.

Operasi disertai sepuluh penguat kuasa MPKB-BRI, 16 penguat kuasa JAHEAIK dan dua anggota polis.

Sementara itu, ketika operasi di Peringat di sini, pegawai penguat kuasa JAHEAIK memberi amaran kepada seorang

lelaki kerana didapati merokok di kawasan luar rumah.

Lelaki berkenaan mendakwa tidak dapat berpuasa kerana menghidapi penyakit.