‘Bukan saya yang buat laporan polis’ - Wan Ahmad Fayhsal

Wan Ahmad Fayhsal (tengah) ketika sidang akhbar di Lobi Parlimen pada Rabu.
Wan Ahmad Fayhsal (tengah) ketika sidang akhbar di Lobi Parlimen pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal nafi membuat laporan polis terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berhubung pelepasan cukai Yayasan Albukhary.

Sebaliknya, beliau berkata, laporan itu dibuat oleh ahli Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 24 Mac lalu.

Justeru, Timbalan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) itu menegaskan tidak ada sebarang kesalahan dalam Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat dilakukannya seperti didakwa Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer.

“Tadi dibangkitkan dalam dewan, saya telah menerima surat daripada pejabat Tuan Yang Dipertua Dewan Rakyat menyatakan saya telah melanggar peraturan mesyuarat Dewan Rakyat kerana membuat laporan polis palsu ke atas Guan Eng.

“Saya telah pun menjawab surat yang dikeluarkan oleh speaker berkenaan hal ini dan jelaskan dalam dewan tadi, pertuduhan yang dibuat oleh Jelutong ke atas saya adalah tidak benar.

“Ini kerana bukan saya yang buat laporan polis, ia dibuat oleh ahli Armada Bersatu saya,” katanya pada sidang akhbar di Lobi Parlimen, di sini pada Rabu.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Armada Bersatu membuat satu laporan polis menuntut siasatan dilakukan ke atas Anwar dan Guan Eng atas dakwaan kedua-dua ahli politik tersebut menyalah guna kuasa penjawat awam bagi menyembunyikan rancangan kesalahan di bawah Seksyen 119 dan 120 Kanun Keseksaan.

Isu pembatalan pengecualian cukai Yayasan Albukhary timbul selepas bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa Guan Eng telah membatalkan pengecualian yang telah diluluskan selepas gabungan kerajaan Pakatan Harapan (PH) ditubuhkan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Bagaimanapun pada 10 Mac lalu, Guan Eng menafikan tuduhan tersebut dan membuat laporan polis terhadap Muhyiddin pada 22 Mac.