Anak yatim dapat cermin mata raya

Rumaizi (empat dari kiri) menyampaikan cermin mata kepada anak-anak yatim ketika Jamuan Berbuka Puasa Bersama Anak Yatim di sebuah hotel di sini baru-baru ini.
Rumaizi (empat dari kiri) menyampaikan cermin mata kepada anak-anak yatim ketika Jamuan Berbuka Puasa Bersama Anak Yatim di sebuah hotel di sini baru-baru ini.
A
A
A

IPOH - Seramai 27 anak yatim dari dua badan bukan kerajaan (NGO) bukan sahaja diberikan baju raya baharu tetapi cermin mata sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Mereka merupakan sebahagian daripada 50 anak yatim yang diraikan oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dengan kerjasama Econsave, Perak Community Specialist Hospital, Navira Meditech, MRoof Hotel serta Kelab Sukan dan Kebajikan Media Perak.

Pegawai Perhubungan Awam MBI, Mohd Syahrizal Azmi berkata, program tersebut merupakan tahun kelapan penganjurannya yang melibatkan dua badan kebajikan iaitu Pertubuhan Baitul Aini Anak-Anak Yatim dan Miskin Ipoh dan Pertubuhan Pusat Jagaan Anak-Anak Yatim Al Yassin Ipoh.

Menurutnya, kelainan kali ini ditampilkan adalah dengan memberi cermin mata percuma kepada anak-anak yatim yang mempunyai masalah penglihatan.

"Bantuan cermin mata memang julung kali diadakan pada tahun ini kerana pihak penaja memang biasa buat tajaan cermin mata dan tahun ini mereka turut terlibat bersama-sama kami.

"Kesemua anak-anak yatim terpilih ini dibawa ke Econsave untuk memilih baju raya dan pemberian duit raya juga diberikan kepada mereka pada majlis berbuka puasa di hotel," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program pemilihan pakaian raya di Econsave Chemor, di sini baru-baru ini.

Mohd Syahrizal (kiri) bersama Shah Effendy membantu memilih pakaian raya anak-anak yatim di Econsave Chemor di sini baru-baru ini.
Mohd Syahrizal (kiri) bersama Shah Effendy membantu memilih pakaian raya anak-anak yatim di Econsave Chemor di sini baru-baru ini.

Majlis penyampaian cermin mata dan duit raya disempurnakan sendiri oleh Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

Sementara itu, Pengurus Wilayah Utara 3 Econsave, Shah Effendy Rosman berkata, pihaknya menyediakan sebanyak 80 baucar bernilai RM50 kepada anak-anak yatim untuk membeli keperluan hari raya di pasar raya berkenaan.

Menurutnya, anak-anak yatim diberi peluang memilih sendiri pakaian masing-masing selain keperluan lain untuk mereka.

Jelasnya, penganjuran program tersebut dijangka akan diteruskan lagi pada masa akan datang bersama-sama MBI.